
MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis memberitahu bahawa sejumlah RM49,000 telah dimasukkan ke dalam akaun bank persendirian bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan sejak dua tahun lalu.
Penolong pengurus Maybank cawangan Bukit Damansara, Selangor, Fazilah Omar, 49, mengesahkan jumlah itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic Wan Saiful melalui cek bertarikh 25 Oktober 2022.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-11 tidak dapat mengenal pasti individu yang membuat deposit tersebut.
BACA LAGI: Kes Jana Wibawa: Perbicaraan Wan Saiful ditangguh 24 Jun
BACA LAGI: Wan Saiful tidak mengaku bersalah, minta dibicara lepas dituduh ubah wang haram RM5.59 juta
Projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan.
"Saya boleh sahkan deposit RM49,000, tetapi saya tidak boleh nyatakan siapa yang membuat deposit, kerana ini bukan dalam tanggungjawab saya.
"Kalau nak tahu butiran cek itu, kita boleh buat permintaan kepada ibu pejabat (Maybank)," katanya.
Fazilah berkata demikian semasa pemeriksaan ketua oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali pada perbicaraan Wan Saiful, yang berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.
Pada masa sama, saksi berkata, hanya ada satu transaksi pada tarikh berkenaan.
Susulan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad disambung pada 3 September depan.
Terdahulu, Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek terbabit.
Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku, Kuala Lumpur antara 12 Ogos dan 13 November 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram