RAKYAT Palestin yang dibawa ke Malaysia pada Jumaat lalu kini sedang menerima rawatan dengan terperinci di Hospital Medan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, Selangor.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua pesakit rakyat Palestin tersebut tidak boleh menerima rawatan dalam masa sehari kerana perlu meneliti kecederaan mereka sama ada berada di tahap serius atau tidak.
"Kita akan beri rawatan rapi kepada mereka tapi ini proses lama dan melihat kepada jenis-jenis kecederaan yang perlu rawatan panjang," katanya ketika ditemui ketika di Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan (Mindef) 2024, di Kuala Lumpur pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Anwar luah rasa kesal usaha rawat rakyat Palestin di Malaysia diperlekeh pembangkang
BACA LAGI: Dua pesawat TUDM terbang ke Mesir bawa 40 rakyat Palestin cedera dapatkan rawatan di Malaysia
Khaled Nordin ketika memberi ucapan sempena sambutan bulan kebangsaan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut beliau, pihaknya belum membuat sebarang keputusan untuk membawa lebih ramai pesakit rakyat Palestin bagi mendapatkan rawatan di negara ini.
Beliau berkata, proses tersebut bukan satu tugas mudah untuk dilakukan malah keputusan itu juga akan ditentukan oleh kerajaan.
Khaled pada masa sama menegaskan bahawa sebarang sumbangan perlu dilakukan secara terus di talian Mindef.
"Kami sangat mengalu-alukan sekiranya ada sumbangan tetapi buat masa ini boleh buat secara terus melalui talian (Mindef)," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan lebih 127 rakyat Palestin yang cedera berserta ahli keluarga mereka selamat tiba di Malaysia menaiki dengan dua pesawat Airbus A-400M TUDM kira-kira pukul 2 petang Jumaat.
Difahamkan, pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis lalu.
Kumpulan tersebut terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak berumur antara lapan bulan hingga 62 tahun.
Susulan bantuan kemanusiaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa usaha membawa pulang jumlah rakyat Palestin yang cedera itu adalah usaha kecil kerajaan jika dibandingkan dengan jumlah 40,000 mangsa yang terkorban akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram