Hilang sejak Jumaat, jasad Nuraina ditemukan dekat kawasan berpaya di Sungai Siput


  • 112
  • Ahad, 18 Ogos 2024

Jasad Nuraina ditemukan di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di Sungai Siput, Perak pada Sabtu.

JASAD Nuraina Humaira Rosli, 10, kanak-kanak perempuan Orang Asli yang hilang sejak Jumaat ditemukan di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di Sungai Siput, Perak pada Sabtu.

Menurut laporan Harian Metro, jasad murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan pada pukul 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) selepas kanak-kanak itu dikatakan tidak pulang sejak petang Jumaat.

BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

"Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak pagi semalam (Sabtu) termasuk dengan menggunakan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan beberapa agensi dan penduduk setempat.

"SAR dijalankan dalam radius dua kilometer sebelum mangsa ditemukan di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu oleh orang awam yang menyertai operasi ini," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk proses selanjutnya dan sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, Mohd Khaizam berkata, sebelum kehilangannya, mangsa dikatakan menuju ke kedai seorang diri kira-kira pada pukul 3 petang untuk membeli ayam sebelum pulang ke rumah.

"Dikatakan mangsa pulang tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara kemudiannya menyuruh mangsa menunggu seketika sementara mengajaknya untuk ke kedai lain.

"Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap kerana dia mahu menghabiskan kerja. Dalam pada itu, mangsa bermain buaian di kawasan terbabit namun bila keluar dari rumah didapati kanak-kanak itu sudah tiada," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram