LANGKAH Umno menampilkan calon muda dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberikan gambaran parti terbabit kini bersedia untuk melakukan pembaharuan politik di Kelantan.
Penganalisis politik yang juga pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sejak sekian lama, Umno Kelantan dilihat dibayangi oleh beberapa pemimpin lama yang sudah bertapak di kawasan tertentu.
The Star pada Isnin melaporkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani hampir pasti dinamakan sebagai calon bagi mewakili Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRK Nenggiri.
BACA LAGI: KPM kaji cadangan bawa guru sukarelawan dari Singapura — Fadhlina Sidek
BACA LAGI: Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis
"Saya lihat dengan mencadangkan nama Mohd Azmawi ini merupakan satu politik baru buat Umno di Kelantan. Sebelum ini, mungkin Umno Kelantan dibayangi oleh 'warlord' yang sukar melepaskan kerusi ditandingi mereka," katanya kepada Majoriti.
Ketua Umno Gua Musang merangkap Pengarah Pilihan Raya PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah melahirkan keyakinan bahawa faktor calon muda mampu membawa parti itu merampas kembali kerusi tersebut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, kerusi terbabit buat pertama kalinya dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerusi calonnya, Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti 810 undi.
Mohd Azmawi dikatakan semakin hampir untuk dicalonkan sebagai wakil Umno pada PRK DUN Nenggiri. — Facebook
Mohd Azizi yang memperoleh 6,517 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi.
Kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi dan dimenangi Umno dengan Ab Aziz menjadi wakil rakyat parti itu menyandang kerusi berkenaan sebelum tewas kepada Mohd Azizi tahun lalu.
Mengulas mengenai potensi Umno untuk kembali merampas kerusi tersebut, Mohamad Tawfik berkata, perkara itu tidaklah begitu mustahil untuk dicapai lebih-lebih lagi dengan mengambil kira majoriti kecil kemenangan di kawasan berkenaan pada PRU lalu.
Ujarnya, keputusan PRK Sungai Bakap juga dilihat tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya petunjuk terhadap kemungkinan keputusan yang bakal berlaku.
"Tambahan pula di sini juga ada deposit pengundi Umno dalam kalangan orang Asli. Kemudian saya lihat Tengku Razaleigh juga boleh memainkan peranan beliau sebagai tokoh kawasan setempat.
"Jadi memang ada kemungkinan Umno boleh perolehi kemenangan di sini. Tapi strateginya perlulah memahami dan merasai apa yang diperlukan penduduk tempatan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram