SSM lancar 2 portal baharu, permudah orang awam akses maklumat korporat


  • Bizz
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Ahmad Sabki (tengah) ketika Majlis Pelancaran Platform Baharu Pembekalan Maklumat Korporat SSM dan Majlis Perasmian SSM Bizday 2024 di Mydin Wholesale Hypermarket, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat. — SSM

SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan dua platform baharu pembekalan maklumat korporat iaitu SSM Search dan Safedata-SSM.

Pengerusinya, Ahmad Sabki Yusof berkata, platform terbabit sudah beroperasi sejak 1 April lalu dan ia membolehkan akses dalam talian kepada orang awam mengenai maklumat entiti perniagaan dikawal selia SSM.

Dengan perkembangan tersebut, SSM kini memiliki empat saluran termasuk SSM Search dan SSM e-Info bagi membekalkan maklumat dalam membantu orang awam dan pihak berkepentingan membuat keputusan berinformasi ketika berurusan dengan perniagaan di dalam negara.

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

BACA LAGI: Status anak pekerja kilang tak halang Huang kecapi gelaran orang terkaya kurang tempoh 10 tahun

"Melalui portal ini, pelanggan boleh mendapatkan 37 jenis produk SSM termasuk profil perniagaan, profil syarikat, maklumat kewangan syarikat dan salinan sijil pendaftaran perniagaan.

"Saya berharap platform ini akan terus menjadi sumber rujukan utama bagi maklumat entiti perniagaan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Platform Baharu Pembekalan Maklumat Korporat SSM dan Majlis Perasmian SSM Bizday 2024 di Mydin Wholesale Hypermarket, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat.

Sementara itu, Ahmad Sabki berkata, dari 2019 hingga 31 Julai 2024, lebih 26.4 juta transaksi maklumat direkodkan menerusi portal MyData-SSM dan e-Info SSM.

Dengan pelancaran dua platform baharu itu, beliau berkata, jumlah transaksi permintaan maklumat dijangka meningkat sebanyak lima peratus atau kepada kira-kira 27.7 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

WhatsApp Image 2024-08-16 at 15.40.30 (1)

SSM Bizday 2024 berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Mydin Wholesale Hypermarket, Subang Jaya, Selangor. — SSM

Sementara itu, Ahmad Sabki berkata, sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 1.56 juta syarikat telah diperbadankan, perniagaan (9.32 juta) serta perkongsian liabiliti terhad (LLP) (39,783), telah didaftarkan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 677,351 syarikat yang aktif manakala perniagaan dan LLP masing-masing 1.66 juta dan 35,5821.

SSM Bizday 2024 berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Mydin Wholesale Hypermarket, Subang Jaya, Selangor.

Ahmad Sabki berkata, ia merupakan kali kedua penganjuran acara itu dan dijangka menyaksikan penglibatan lebih 600 peserta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SSM turut memperkenalkan pelbagai insentif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan antaranya Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P).

"SPPP menawarkan pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan B40 dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dengan pengecualian fi pendaftaran dan maklumat perniagaan.

"Pada 2023, SPPP diperluaskan kepada pasangan suami isteri usahawan B40 untuk menggalakkan perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan.

"S101P pula merupakan inisiatif untuk golongan OKU mendaftarkan perniagaan dengan SSM secara percuma," ujarnya.

Sehingga 31 Julai 2024, Ahmad Sabki berkata, sebanyak 123,570 perniagaan telah didaftarkan di bawah inisiatif SPPP, termasuk 57,953 pelajar IPT sepenuh masa dan 65,617 usahawan B40. Sementara itu, sebanyak 18,707 perniagaan telah didaftarkan di bawah S101P. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram