[VIDEO] 19 mangsa rugi RM1.84 juta, labur mesin minuman menyamar Yayasan JDT


  • Massa
  • Selasa, 25 Jun 2024

19 mangsa golongan tidak berkemampuan ditipu syarikat skim pelaburan tidak wujud sejak tahun 2020. — Facebook

MENGGUNAKAN nama Yayasan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai helah memperdaya, sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan mesin minuman menipu seramai 19 mangsa dengan jumlah kerugian lebih RM1.84 juta sejak tahun 2020.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim tersebut menyasarkan golongan miskin, pesara dan warga emas sebagai mangsa.

Tambah Hishamuddin, syarikat berkenaan menawarkan mesin minuman berharga RM30,000 dan mereka menjanjikan untuk meletakkan ia di sekolah-sekolah di Johor dengan setiap pelabur akan menerima pulangan RM1,500 sebulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja sempat ‘selfie’ sambil buli rakan sebaya, polis Betong buka kertas siasatan bawah Seksyen 323/506 KK

BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri

"Apa yang menyedihkan terdapat lebih 19 pengadu yang telah membuat aduan dan membuat laporan polis dan membawa laporan polis mereka kepada MHO supaya kes ini dipanjangkan, disiasat dan ada pendakwaan.

"Ramai mangsa-mangsa adalah golongan warga emas yang guna wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ada buat pinjaman peribadi untuk menyertai program ini.

"Malangnya janji hanya tinggal janji, mereka terpedaya. Maklumat kami terima mereka terlibat program ini kerana terdapat penggunaan logo atau surat mereka bekerjasama dengan Yayasan JDT.

"Kita yakin JDT tidak terlibat dalam program yang merosakkan nama JDT tetapi mereka telah berjaya menggunakan nama baik Yayasan JDT untuk mempengaruhi masyrakat Malaysia terutama masyarakat India yang ada," katanya memetik hantaran di Facebook rasmi MHO.

Lebih meyakinkan apabila syarikat berkenaan juga menggunakan platform radio tempatan untuk memperdaya sehingga ramai yang percaya dengan tawaran lumayan yang ditawarkan mereka.

Pihak MHO berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempertimbangkan kes berkenaan untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Kita juga akan buat aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 kerana syarikat berkenaan menawarkan skim kepentingan tanpa mendapat kebenaran daripada SSM di bawah akta skim kepentingan.

"Jika sabit kesalahan di bawah seksyen 4 (2) akta skim kepentingan dalang ataupun pengarah syarikat juga boleh disiasat dan didakwa. Jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda sebanyak RM50 juta," katanya.

Dalam perkembangan berbeza, PDRM menerima 57 laporan polis daripada mangsa penipuan skim pelaburan mesin layan diri membabitkan kerugian RM5.3 juta setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kesemua laporan polis itu diterima pihaknya sejak tahun lalu dan siasatan sedang jalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram