Anak Hamzah Zainudin mengaku tak bersalah terima rasuah RM100,000


Muhammad Faisal Hamzah yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Rabu. — The Star

ANAK kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Rabu.

Muhammad Faisal Hamzah, 40, bagaimanapun menafikan dakwaan menerima wang tersebut daripada Izmir Abd Hamid sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions menjadi perunding pemasaran.

"Saya mengaku tidak bersalah," katanya.

BACA LAGI: Bekas SU Politik Hamzah Zainuddin hadapi 2 lagi tuduhan rasuah

BACA LAGI: Anwar jawab dakwaan Hamzah, dedah turun ke warung, pasar setiap minggu

1527304

Hamzah Zainudin, bapa kepada tertuduh. — The Star

Faisal juga didakwa atas pertuduhan menerima rasuah dengan menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan tender daripada sebuah syarikat enam tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tiga syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan sebanyak RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di galeri beli-belah Publika, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur pada Mac 2018.

Faisal juga didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat kemudiannya menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan mulai Julai serta tertuduh tidak menghubungi saksi pendakwaan.

2010429

Faisal (kanan) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000. — The Star

Peguam mewakili Faisal, Ravinder Singh Dhalliwal pula meminta untuk mengurangkan jumlah jaminan iaitu sebanyak RM25,000.

Dia memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya perlu pergi ke Thailand setiap bulan kerana sedang dalam proses pembukaan sebuah asrama.

Selepas mendengar permohonan itu, Mahadi menjawab bahawa jumlah yang dicadangkan adalah bersesuaian kerana jumlah rasuah yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah RM100,000.

"Kita harus mengambil kira sifat pertuduhan ini dan latar belakang tertuduh. Tertuduh tidak mempunyai masalah kewangan yang teruk dan dia juga anak kepada bekas menteri," katanya.

Tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan termasuk disenarai hitam ke luar negara. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram