Penjawat awam naik gaji: Peniaga jangan sabotaj usaha kerajaan, naikkan harga barang


  • Bizz
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Kerajaan bersetuju melaksanakan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada penjawat awam secara berfasa bermula 1 Disember 2024.

PENIAGA diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dan mensabotaj usaha kerajaan menaikkan gaji penjawat awam dengan meningkatkan harga barang serta perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia kerana pelarasan gaji itu dilaksanakan bertujuan mengurangkan beban sara hidup rakyat, bukan untuk peniaga menaikkan harga.

Menurutnya, kementerian sudah membuat perancangan awal untuk mengatasi isu itu sejurus cadangan kenaikan gaji penjawat awam dimaklumkan sebelum ini.

BACA LAGI: Syarikat China dominasi harga pasaran online, bimbang 'seller' lokal senasib peniaga Indonesia

BACA LAGI: Sudah tiba masa PBT wajibkan peniaga buat permohonan lesen sendiri, bukan guna 'orang tengah'

6195150318145223789

Armizan berkata, kementerian telah pun memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai perkara itu.

"Kami telah pun memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara ini.

"Ia amat penting kerana kita tidak boleh membenarkan sesiapa sahaja sabotaj usaha kerajaan untuk mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat termasuk penjawat awam," katanya ketika ditemui pemberita selepas serbuan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) oleh KPDN Negeri Sembilan di sebuah premis di Lukut pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, meskipun kenaikan itu hanya berlaku pada 1 Disember, namun ada kemungkinan pihak tertentu akan melakukan aktiviti pencatutan lebih awal supaya ia tidak begitu ketara.

"Jadi penguatkuasaan tersebut perlu dibuat pada kadar segera dan kita anggap sekiranya berlaku sebarang aktiviti pencatutan dan di peringkat harga sekali pun, kita akan bertindak tegas.

"Kita akan dapatkan apa alasan dan justifikasi pihak terlibat," ujarnya.

"KPDN memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang awam bagi mengekangnya daripada berlaku," tambah beliau. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram