PBAPP laksanakan Pelan Fasa 1 pengurusan krisis tangani isu bekalan air Pulau Pinang


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Pelan tersebut bertujuan menangani isu bekalan air berikutan taburan hujan yang rendah sehingga menjejaskan sekitar 7,400 penduduk di Pulau Pinang.

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan Fasa 1 Pelan Pengurusan Krisis bagi menangani isu bekalan air berikutan taburan hujan yang rendah sehingga menjejaskan sekitar 7,400 penduduk di negeri itu.

Antara kawasan yang terlibat ialah George Town, Air Itam, Lebuhraya Thean Teik, Tanjung Bungah, Mount Erskine, Balik Pulau, Pulau Betong dan Bayan Lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. Pathmanathan K. menerusi satu kenyataan berkata, dalam keadaan biasa, pihaknya akan menampung kekurangan dengan menyalurkan air dari Loji Rawatan Air (LRA) lain ke kawasan yang terjejas.

BACA LAGI: Kes culik Albertine Leo, polis Johor sahkan hanya 5 tangkapan dibuat

BACA LAGI: Polis buru suspek culik dan lepas 2 kanak-kanak perempuan di Sungai Buloh

Screenshot 2024-07-26 154134

Penduduk di Pangsapuri Sri Bayu, Bayan Lepas, mengambil air dari lori tangki air ketika krisis air pada Januari lalu.

Bagaimanapun, PBAPP juga perlu menangani isu berkaitan kapasiti efektif empangan yang rendah dan paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai berikutan fenomena El Nino 2024.

"PBAPP sedang melaksanakan Fasa 1 Pelan Pengurusan Krisisnya untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga September," katanya,

Menurut beliau, antara tindakan yang sedang dijalankan ialah mengoptimumkan pengeluaran air di LRA Batu Ferringhi dan LRA Guillemard tanpa menjejaskan kapasiti berkesan Empangan Teluk Bahang.

"Tindakan ini membolehkan PBAPP mengagihkan sebanyak mungkin air terawat ke kawasan perkhidmatan Air Terjun dan LRA Sungai Pinang," jelasnya.

PBAPP Sungai Dua WTP water treatment plant (December 13, 2023) —CHAN BOON KAI/The Star

Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Selain itu, PBAPP juga akan berhubung dengan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang setiap hari untuk menguruskan pengabstrakan air pengairan dari Sungai Muda yang bertujuan untuk mengelak isu pengabstrakan air PBAPP bagi bekalan air awam di Lahar Tiang.

Tambahnya, pengeluaran air terawat di LRA Air Itam akan ditingkatkan tanpa menjejaskan kapasiti efektif Empangan Air Itam.

"Tindakan ini akan mengurangkan kebergantungan Air Itam kepada air terawat dari Sungai Dua yang kemudiannya boleh dialihkan ke kawasan perkhidmatan pinggir LRA Air Terjun," katanya.

Antara tindakan lain ialah termasuk mengawal injap dan operasi mengepam, penghantaran lori tangki air dan tangki air statik ke kawasan terjejas serta cadangan operasi pembenihan awan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram