Operasi pembenihan awan tingkatkan paras air di Kedah, Perak bermula Isnin


  • Primer
  • Ahad, 28 Jul 2024

Pelaksanaan operasi pembenihan awan adalah bertujuan meningkatkan paras air di Kedah dan Perak.

PELAKSANAAN operasi pembenihan awan (OPA) di Kedah dan Perak akan dilaksanakan bermula Isnin selama tiga hari berturut-turut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu bertujuan bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

Ahmad Zahid berkata, ia merupakan satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

BACA LAGI: MMA bimbang kes keracunan makanan babitkan kanak-kanak meningkat

BACA LAGI: 'Terimalah nasihat, cuba perbaiki', peniaga buka meja tepi simpang di Sentul KL ancam bahaya pengguna jalan raya

Screenshot (2796)

Pembenihan awan yang akan dimulakan Isnin ini. — Gambar hiasan

Katanya, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah, 15.25 peratus mengikut data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada Jumaat lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, operasi itu dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

"Pelaksanaan adalah menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

"Bekalan air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu, Kedah bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, beliau berkata, tanaman padi Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar terdiri daripada 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.

"Manakala, kawasan tanaman padi di Kerian, Perak yang menerima sumber air dari Empangan Bukit Merah pula merupakan jelapang padi ketiga terbesar negara dengan keluasan 20,326 hektar.

"Kekurangan turunan hujan akan mengakibatkan takungan simpanan akan terus menyusut seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram