ISU penambahan atau pengubahsuaian struktur bangunan oleh penghuni flat bukanlah satu isu baru.
Malah, perkara itu juga disifatkan semakin berleluasa dalam kalangan penghuni kediaman jenis tersebut.
Perkara mengenai masalah tersebut juga sudah kerap tular di media sosial yang memaparkan tindakan sesetengah pemilik unit rumah berkenaan yang mengubah suai kediaman secara berlebihan.
BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000
Terbaharu, tersebar satu lagi insiden melibatkan penghuni sebuah flat yang mengubah suai kediamannya dengan cara agak melampau.
Berdasarkan foto dikongsikan oleh Sukan Star TV, penambahan struktur yang dilakukan itu tidak hanya dilakukan di tingkat bawah, tetapi hingga ke tingkat tiga bangunan berkenaan.
Malah, pemilik kediaman di tingkat tiga berkenaan juga dilihat membuat balkoni pada struktur tambahan tersebut.
Difahamkan, bangunan flat berkenaan terletak di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, tarikh sebenar foto berkenaan diambil tidak dapat dipastikan.
"B40 tapi selera T20. Terus sambung tiga tingkat," tulis hantaran tersebut.
Di ruangan komen, rata-rata daripada netizen tampil mempersoalkan bagaimana tindakan tersebut boleh dibiarkan berlaku tanpa sebarang pengawasan.
Pada masa sama, terdapat juga antaranya yang berseloroh terhadap insiden yang berlaku.
"Memula level bawah buat, lepas itu level dua sambung, level tiga tambah, level empat dan lima bakal cukupkan jadi tiga blok," ujar June.
"Kalau runtuh sebab asas dan struktur tak kuat, mesti disalahkan kejadian alam," kata Nredya Edya Edrus.
"Kagum juga jiran-jiran tiada yang lapor sepanjang pembinaan. Nampak tak yang orang tak kisah dan cemburu pun. Cuma bila dah naik macam tu, orang luar pun terang-terang nampak, yang tak nampak cuma pihak berkaitan sahaja. Itu yang hairan," tulis Shah Sulaiman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram