'Karya pernah kena tolak, dikritik tak cukup lawak', Imuda pegang prinsip kerja tetap kena jalan


Imuda yang kini sudah bergelar Datuk mahu terus meningkatkan kebolehan serta kemampuan diri.

SIAPA sahaja yang tidak mengenali pelakon komedi, Datuk Imuda yang namanya sedang hangat diperbualkan selepas mendapat gelaran Datuk.

Gelaran itu diperoleh bersempena hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Pulau Pinang.

Pasti tidak mudah untuknya mendapat gelaran berkenaan selepas banyak pahit manis dilalui sepanjang lebih 40 tahun berada dalam industri.

BACA LAGI: 'Kalau pandai, saya pun guna', Imuda anggap teknologi AI tak jatuhkan martabat seni pelukis

BACA LAGI: Kurang pendengaran tak halang Aizad tonjol bakat buat kopi, terbang sampai Washington latih pekerja senasib

6160986301436903261

Komik bertajuk Yushimura yang dicipta oleh Imuda.

Menjadi inspirasi ramai, pelakon komedi Pi Mai Pi Mai Tang itu sama sekali tidak pernah merungut setiap kali berdepan sebarang masalah agar segalanya kelihatan berjalan dengan lancar di mata orang lain.

Imuda berkata, pada awal 1978, dia pernah menerima upah sebanyak RM250 sebulan sebagai penolong pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Bayangkan sewa rumah sahaja RM50 sebulan untuk seorang, belum termasuk untuk beli pakaian, makanan dan lain-lain.

"Tetapi apabila balik Pulau Pinang, orang tanya macam mana, kita cakap okay sahaja duduk di Kuala Lumpur.

"Walaupun susah macam mana pun saya tak cerita dekat orang kerana sewaktu itu ingin menjadi 'somebody'," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-08-01 at 3.29.31 PM (1)

Komik Himpunan kartun berwarna yang dihasilkan oleh Imuda.

Popular sebagai kartunis, pemilik nama sebenar Datuk A. Rahim Muda itu mengakui lukisannya pernah ditolak sewaktu awal menceburkan diri dalam lukisan komik.

"Waktu itu hantar ke Majalah Gila-Gila, buat 10 kartun hanya dua sahaja dikeluarkan. Yang lain semua kena reject," katanya.

Tidak hanya itu, anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu juga pernah menerima kritikan daripada orang ramai yang berpendapat karyanya tidak cukup melucukan.

"Ada yang tegur kartun kita tak kelakar. Tetapi kita betulkanlah lagi mana yang semampu boleh.

"Orang komen, kita terima. Itu adalah sebuah pembelajaran kita," katanya.

Sentiasa cuba mempertingkatkan kebolehan diri, Imuda sering mempelajari sesuatu perkara baharu dalam hidupnya.

"Apa yang saya tidak boleh buat pun saya akan cuba lakukan juga. Saya cuba menari, penyanyi, pelakon dan pelawak," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-01 at 3.29.32 PM

Komik Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Terkenal sebagai pelawak yang hebat, Imuda berkata, dia mampu membuat persembahan di atas pentas dengan menterjemahkan perkara itu dalam bentuk lukisan terlebih dahulu.

"Saya buat dialog dalam komik. Kartun ini penyampaiannya sama juga dengan saya buat lawak di atas pentas. Saya pun selalu mengikuti trend yang ada pada masa sekarang supaya apa kita buat mengikuti perkembangan semasa," katanya.

Datuk Imuda berkata, dia menginspirasikan pelukis seperti Norman Rockwell, Datuk Mohd. Hoessin Enas dan Datuk Azman Yusof untuk meningkatkan kreativiti dalam karya.

"Pelukis pujaan saya di Amerika adalah Norman Rockwell. Kalau di Malaysia saya suka Datuk Mohd. Hoessin Enas dan Datuk Azman Yusof.

"Saya tidak meniru apa yang mereka hasilkan tetapi mahu jadi seperti mereka," katanya.

Meskipun sudah memperoleh gelaran Datuk, Imuda tidak menganggap hal itu akan mengubah jati dirinya yang sebenar tetapi merupakan satu ruang untuknya mengembangkan lagi kebolehan diri.

"Kena ada pembaharuanlah. Apa sahaja gelaran. The work must go on. Kalau boleh lebih baik lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram