MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar milik pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid bermula 24 Julai lalu.
Memetik laporan MalaysiaGazette, perkara itu disahkan oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri, Mohammad Fahmi Ngah ketika mengulas tentang surat pemakluman penarikan kembali tauliah untuk memberi ceramah dan mengajar di Selangor.
Menurutnya, tauliah pendakwa yang lebih dikenali sebagai Ustaz Don bersama empat individu lain ditarik lebib awal dan semua masjid serta surau diarahkan untuk tidak mengundang mereka.
BACA LAGI: Ustaz Don terima notis JAIS, ceramah di seluruh institusi agama Selangor ditangguhkan
BACA LAGI: 'Ustaz Don juruacara Salam Baitullah, bukannya penganalisis atau penceramah
Notis arahan JAIS kepada Ustaz Don bertarikh 21 Jun 2024.
Mohammad Fahmi berkata, maklumat tersebut adalah sahih dan kini sedang dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Jelasnya, punca penarikan tersebut juga tidak boleh didedahkan meskipun berlaku pelanggaran.
Dalam pada itu, mengikut surat edaran tersebut, tauliah mengajar Ustaz Don adalah sepatutnya bagi tempoh 2 Julai 2020 hingga 30 Jun 2025.
Empat individu lain yang turut menerima nasib sama adalah Mohd Shahabudin Md Yatim, Mohd Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd Norhisyham Tuan Padang.
Untuk rekod, kontroversi Ustaz Don dalam program Salam Baitullah terbitan RTM baru-baru ini menemui jalan buntu apabila beliau direhatkan terus daripada bersiaran di stesen televisyen tersebut.
Ia susulan tindakan beliau yang didakwa mengingkari arahan penerbit, tidak patuh skrip dan gemar memetik mana-mana kitab atau hadis ketika bersiaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram