'Baru lepas turap terus pacak khemah', MP tegur peniaga punca kekurangan parkir depan klinik di Bangi


  • Massa
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Terdapat peniaga yang mengambil kesempatan memacakkan khemahnya di kotak parkir di hadapan Klinik Kesihatan Bangi baru-baru ini. — Twitter

AHLI Parlimen Bangi, Syahredzan Johan meluahkan kekecewaannya selepas melihat keadaan parkir di hadapan Klinik Kesihatan Bangi, Selangor masih tidak mencukupi meskipun sudah dinaik taraf.

Menerusi hantaran dimuat naik di akaun X pada Rabu, punca perkara itu dipercayai berlaku disebabkan sikap segelintir peniaga yang gemar mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan di kawasan itu.

Menurutnya, terdapat beberapa peniaga secara bersahaja memacakkan khemah di kotak parkir yang struktur jalannya sudah diturap pada Selasa.

BACA LAGI: Mula-mula conteng orang lidi, siapa sangka hasil seni adik Zarra pikat hati tokoh hebat seperti Tun M, bekas KP Kesihatan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dakwah santai tapi sampai', content creator peminat 'Gerak Khas' beri konsep unik kempen ajak ke masjid

Beliau pada masa sama menggesa dan merayu kepada para peniaga kecil atau penjaja agar tidak mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri sekali gus menyukarkan individu lain.

"Baru lepas turap, peniaga dah pacak khemah. Dapat info di hadapan Klinik Kesihatan Bangi.

"Saya kecewa dan saya merayu kepada peniaga, fikirkan tentang orang ramai. Pengunjung ramai, parkir terhad. Ini bukan tempat berniaga," tulisnya.

Syahredzan bagaimanapun berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan tindakan lanjut akan dikenakan terhadap peniaga terbabit.

Dalam pada itu, rata-rata warga maya turut menyokong tindakan beliau dan menyarankan supaya masalah sama di kawasan lain juga perlu diselesaikan.

"Betul. Di Kuala Lumpur, pantang ada laluan pejalan kaki yang berturap, mesti ada peniaga pacak khemah. Habis tu pejalan kaki kena jalan di mana? Jalan raya?," komen @amarfrd.

"Peniaga-peniaga macam ini perlu segera ditegur, takut lama-lama dia claim itu tapak dia 'lama sudah meniaga'," tulis @Iqmn_zrth. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram