'Kalau pandai, saya pun guna', Imuda anggap teknologi AI tak jatuhkan martabat seni pelukis


  • Hobi
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Datuk Imuda tidak beranggapan penggunaan AI mampu menjatuhkan martabat pelukis veteran.

TIDAK dinafikan, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Al) semakin berkembang pesat terutama pada era revolusi industri 4.0 ini.

Algoritma canggih teknologi generatif AI membolehkan karya digital berkualiti tinggi dapat dihasilkan kurang daripada lima minit dengan beberapa baris ayat perintah dan klik butang sahaja.

Bagaimanapun, segelintir individu berpendapat penggunaannya dalam sebuah lukisan mampu menjadi sebab terhakisnya karya asli seorang kartunis dan juga pelukis.

BACA LAGI: The Wayang Robot, inovasi 3D beri nafas baharu wayang kulit tradisional

BACA LAGI: Art of Speed 2024 medan 'cuci mata' lihat kenderaan ubah suai, menyelam 'thrift' koleksi pakaian vintaj

2813471

Ilustrasi asal majalah Gila-Gila yang menambat hati rakyat Malaysia. — Facebook

Buktinya, baru-baru ini, majalah Gila-Gila menerima kecaman hebat selepas menggunakan AI pada kulit hadapan edisi terbaharunya.

Antaranya, seorang pengguna di Facebook, Adib Mazlee berpendapat majalah paling lama di Malaysia itu tidak seharusnya memasukkan AI dalam karyanya.

"Ramai peminat menghormatinya sebagai majalah paling lama di Malaysia, tetapi sekarang telah terjebak dalam perkara yang sangat buruk.

"Dia (penulis) juga menggalakkan artis lain untuk menggunakan AI sebagai teknologi baharu. Dia hanya 'Fear of Missing Out' (FOMO) sebenarnya," komen Adib Mazlee.

Bercakap soal itu, pelakon yang juga kartunis, Datuk Imuda berpendapat bahawa tidak menjadi sebarang masalah jika menggunakan AI dimasukkan dalam karya komik.

"Penggunaan AI ini macam trend yang digunakan zaman sekarang. Setiap orang ada pendapat masing-masingkan. Tetapi bagi saya, AI ini ada bagusnya juga.

"Contohnya kita tidak perlu susah mencari rujukan kerana dalam AI sudah mengandung pelbagai imput yang tersedia," katanya kepada Majoriti.

Pemilik nama sebenar A Rahim Muda itu juga berpendapat penggunaan AI yang kini semakin berleluasa itu sama sekali tidak akan menjatuhkan martabat seorang pelukis lama.

"Pelukis veteran masih hasilkan lukisan guna tangan. Jadinya, wujud penggunaan AI ini tidak akan menghapuskan style lukisan lama pun kerana tidak semua individu pakar untuk menggunakannya.

"Sebenarnya susah untuk guna AI ini, yang pakar sahaja reti guna. Kalau saya pandai guna pun saya akan guna juga," kata Imuda.

Imuda turut menjelaskan bahawa pengasas majalah Gila-Gila, Jaafar Taib akan kembali kepada prinsip asal iaitu untuk ketengahkan karya seni asli yang dihasilkan oleh individu tempatan.

"Pengasas AI dia mahu kekalkan maintain untuk kekalkan lukisan tangan. Dia tidak mahu AI," katanya.

Sebelum ini, kartunis majalah Gila-Gila, Jaafar Taib tampil membuat permohonan maaf kepada seluruh pembaca naskhah tersebut.

"Saya sebagai pengasas dan penerbit majalah Gila-Gila, dengan rasa penuh sesal ingin memohon maaf yang sebesar-besarnya atas penggunaan karya seni yang dihasilkan oleh AI.

Jaafar menjelaskan, dalam usia 71 tahun, beliau kurang arif tentang teknologi AI dan implikasinya terhadap dunia seni.

“Saya sedar, keputusan untuk menggunakan karya AI tersebut adalah satu kesilapan besar yang tidak patut berlaku.

“Ia telah mengguris hati ramai pelukis dan kartunis berbakat yang selama ini menjadi tulang belakang majalah Gila-Gila,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram