Kanak-kanak ada kolesterol tinggi berpotensi dapat penyakit jantung awal


  • Sihat
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Selain orang dewasa, kanak-kanak juga adalah golongan yang berisiko menghidap masalah kolesterol tinggi.

RAMAI ibu bapa menganggap hanya orang dewasa sahaja perlu membimbangkan tentang masalah kolesterol tinggi.

Tetapi adakah anda tahu bahawa 1 dalam 250 kanak-kanak memiliki paras kolesterol tinggi meskipun mereka mengamalkan diet, senaman atau gaya hidup yang sihat?

Golongan kanak-kanak itu mempunyai keadaan genetik yang dipanggil hiperkolesterolemia keluarga (FH).

BACA LAGI: Perjuangan Celine Dion lawan Stiff Person Syndrome, tak semua tahu tentang penyakit jarang ditemui ini

BACA LAGI: Adakah pesakit gagal buah pinggang kronik perlu 'cuci darah' seumur hidup?

WhatsApp Image 2024-08-01 at 1.57.28 PM

Mereka berisiko mendapat penyakit jantung awal meskipun sudah menitikberatkan pemakanan sihat dan menjalani kehidupan yang aktif.

Ibu bapa perlulah mengetahui tentang hiperkolesterolemia keluarga terutamanya bentuk paling serius bagi keadaan ini yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak dan remaja.

Kolesterol adalah sejenis bahan berlilin seperti lemak yang terdapat secara normal dalam setiap sel yang berada di tubuh badan kita.

Hati (liver) menghasilkan kolesterol untuk memastikan sel-sel kita berfungsi dengan lancar.

Kolesterol juga berfungsi untuk menyokong pengeluaran hormon dan vitamin yang penting untuk kesihatan yang berterusan.

Kita mengambil kolesterol tambahan apabila memakan produk berasaskan haiwan seperti tenusu, telur atau daging.

Dalam kebanyakan kes, badan kita boleh mengeluarkan semula sesuatu yang tidak perlukan badan.

Tetapi bagi orang yang mempunyai hiperkolesterolemia keluarga, mutasi dalam kod genetik menghalang proses ini.

Akibatnya, kolesterol LDL ataupun lebih sering dipanggil sebagai kolesterol buruk akan terkumpul di dalam arteri sejak lahir.

Pembentukan itu dipanggil plak yang membawa kepada deposit dalam arteri koronari sekali gus menyebabkan serangan jantung dan strok pada awal kehidupan.

Berjuta-juta orang di seluruh dunia hidup dengan hiperkolesterolemia keluarga tetapi hanya 30 peratus tahu bahawa mereka menghidapinya.

Terdapat dua bentuk hiperkolesterolemia keluarga yang berbeza mengikut cara gen itu dihantar daripada ibu bapa kepada anaknya.

Bentuk FH yang paling biasa dikenali sebagai FH heterozigot (HeFH).

Seorang kanak-kanak dengan HeFH telah mewarisi satu salinan gen FG yang tidak normal daripada seorang ibu bapa kandung.

bisakah-anakanak-terserang-kolesterol-tinggi-2

Ibu bapa perlulah meneliti tentang sejarah keluarga iaitu jika terdapat ahli keluarga yang pernah memiliki masalah yang sama.

Mengetahui sejarah keluarga anda

Apabila kanak-kanak mewarisi salinan gen FH yang tidak normal daripada kedua-dua ibu bapa, mereka mempunyai keadaan yang dikenali sebagai FH homozigot (HoFH).

HoFH adalah keadaan yang jarang berlaku, namun memerlukan rawatan segera.

Mengenal pasti dan merawat hiperkolesterolemia keluarga dalam tempoh yang lebih awal boleh mengurangkan risiko penyakit arteri koronari sebanyak 80 peratus.

Proses itu bermula dengan mengetahui sejarah kesihatan keluarga anda.

Pastikan anda memaklumkan kepada pakar pediatrik jika ibu bapa, datuk nenek, ibu saudara atau bapa saudara anak anda mengalami serangan jantung awal (sebelum umur 55 untuk lelaki dan umur 65 untuk wanita).

Kolesterol tinggi atau penyakit arteri koronari dalam kalangan saudara terdekat perlu diberi perhatian juga.

Berdasarkan latar belakang ini, doktor anak anda boleh memutuskan berapa awal untuk menguji tahap kolesterol.

Apabila tiada sebarang risiko, American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan pemeriksaan kolesterol dibuat pada kanak-kanak bermula antara umur sembilan dan 11 tahun.

Tetapi apabila terdapat masalah jantung yang diwarisi, saringan bermula seawal umur dua tahun diperlukan.

Jika ujian darah menunjukkan tahap kolesterol LDL anak anda melebihi 160 mg/DL, maka hiperkolesterolemia keluarga mungkin ada.

Kanak-kanak yang didiagnosis dengan HoFH selalunya mempunyai paras kolesterol iaitu 400 mg/DL, atau lebih daripada empat kali ganda paras kolesterol yang diingini antara umur dua dan 19 tahun.

Tahap LDL yang sangat tinggi iaitu 1,000 mg/dL telah dilihat pada sesetengah kanak-kanak dengan HoFH.

HoFH, bentuk kolesterol tinggi yang diwarisi yang lebih teruk menjejaskan kira-kira 1 dalam 300,000 orang di seluruh dunia, tetapi profesional penjagaan kesihatan sedang berusaha untuk meluaskan kesedaran tentang keadaan tersebut.

Pengumpulan kolesterol berbahaya yang disebabkan oleh HoFH boleh menyebabkan serangan jantung pada usia remaja atau lebih muda.

Malah, orang yang mempunyai HoFH yang tidak dirawat secara amnya akan mengalami penyakit jantung sebelum umur 30 tahun.

WhatsApp Image 2024-08-01 at 1.56.46 PM

Ibu bapa tidak perlu menyalahkan diri sendiri jika anak mereka didiagnosis dengan masalah FH.

Jangan salahkan diri sendiri

Jika ujian menandakan anak anda mengalami masalah itu, jangan menyalahkan diri kerana ia di luar kawalan anda.

Mempunyai gen hiperkolesterolemia keluarga tidak mencerminkan diet, tahap kecergasan atau sebarang faktor risiko lain yang boleh anda kawal.

Mengambil pusing mengenai perkara itu boleh membantu anda meneruskan pelan rawatan bagi anak selain mendapatkan pemeriksaan buat seisi keluarga.

Seseorang seharusnya berterima kasih kepada penyelidikan dan pembangunan yang berterusan kerana memberi banyak cara untuk mengurangkan tahap kolesterol LDL pada kanak-kanak dan orang dewasa.

Antaranya, FDA telah meluluskan beberapa ubat untuk kanak-kanak dan lebih banyak lagi ubat dalam pembangunan.

Jadi, pasukan perubatan anak anda akan mempunyai pelbagai alat untuk digunakan dalam menangani HoFH.

Jika anak anda didiagnosis dengan HoFH, pakar pediatrik anda akan mengesyorkan agar pakar perubatan yang memberi tumpuan kepada kesihatan jantung dan lipid.

Pelan penjagaan anak anda mungkin termasuk statin atau ubat yang mengurangkan jumlah kolesterol yang dihasilkan oleh hati sambil membantu hati mengeluarkan kolesterol yang sudah terkandung di dalam aliran darah.

Ubat bukan statin yang berfungsi dengan hati, usus kecil dan laluan kimia khusus untuk menurunkan kolesterol LDL mungkin disyorkan atau lipoprotein apheresis, prosedur yang membuang kolesterol LDL daripada darah setiap minggu.

Di samping pengambilan ubat-ubatan, makanan diet dan kekal aktif penting untuk dijaga sepanjang hayat untuk menyihatkan jantung.

Pakar diet boleh bersama-sama dengan penjaga anak dalam menangani masalah dengan cara menyediakan panduan dan cadangan diet berkhasiat.

Apa sahaja langkah yang disyorkan oleh pasukan perubatan juga bagus untuk diikuti oleh diri sendiri.

Jangan teragak-agak untuk meminta bantuan pasukan penjagaan kesihatan jika anda mengalami masalah dalam menyediakan ubat-ubatan atau menyelesaikan pelan rawatan kepada anak.

Memberi tumpuan kepada asas keluarga seperti tidur yang sihat, pemakanan yang bagus dan masa lapang bersama rakan akan membantu anda semua mengekalkan keseimbangan.

Jadikan keutamaan untuk membuat pemeriksaan terhadap anak dan berkongsi cerita tentang diagnosis anak anda dengan ahli keluarga yang lain.

Apabila pesakit yang mempunyai FH menangani kolesterol LDL yang tinggi pada peringkat awal, risiko mereka boleh menurun ke tahap yang lebih rendah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram