KOMUNITI Belia Selangor (SAY) melalui program TEAM di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin memberi fokus dalam membantu golongan muda di Malaysia mencari peluang pekerjaan.
Program tersebut juga pada masa sama berjaya membantu lebih 300,000 anak muda tempatan dalam membina kerjaya serta meningkatkan kemahiran sosial.
Inisiatif yang dilakukan dengan kerjasama sebuah organisasi global diasaskan di United Kingdom (UK), The King's Trust International itu juga berhasil mengharumkan nama negara selepas seorang daripada peserta program TEAM, Amirul Mukminin Rozaili, 24, dipilih sebagai pemenang Anugerah Kelestarian Asia untuk kategori Anugerah King's Trust Global 2024.
BACA LAGI: Gagal urus perniagaan, Amirul bangkit jadi pencipta kandungan sampaikan dakwah
BACA LAGI: Status hanya guru praktikal, tapi Nisaa tak lokek ilmu agar guru lama guna teknologi terkini
Amirul (tengah) antara pemenang anugerah tersebut.
Kemenangan itu sekali gus memberi inspirasi dan keyakinan kepada para peserta lain untuk tidak berputus asa dalam menggapai kejayaan.
Seperti yang dimaklumkan oleh Pengurus Program TEAM, Siti Nurainin Nabillah Mohd Azman, SAY menyasarkan golongan-golongan muda yang mencari hala tuju dalam pemilihan kerjaya diminati.
Ainin berkata, program tersebut turut memfokuskan dua aspek utama iaitu alam sekitar dan komuniti untuk dijadikan aktiviti bersama peserta.
"Untuk bidang kerjaya yang ditawarkan kepada peserta TEAM ada banyak dan tidak fokus kepada alam sekitar sahaja.
"Kebanyakannya kami menawarkan juga pekerjaan kategori entry level seperti industri makanan dan minuman, komunikasi dan banyak lagi, tetapi yang penting ia menepati pasaran terkini," katanya kepada pemberita ketika Majlis Anugerah TEAM 2024 di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Katanya lagi, pemilihan peserta juga adalah terbuka dan tidak terhad kepada penduduk Selangor sahaja.
Individu berumur 15 hingga 30 tahun dan warganegara Malaysia merupakan antara kriteria wajib yang diletakkan bagi kemasukan sebagai peserta TEAM.
Tengku Amir (kiri) bersama pihak The King's Trust International ketika majlis penyampaian anugerah pada Selasa.
Lebih istimewa lagi apabila para peserta diberikan elaun dan kemudahan makanan sepanjang mengikuti program selama sembilan minggu yang bertempat di mana-mana kawasan di Selangor.
"Selalunya banyak peserta sertai kami adalah dari kalangan pelajar-pelajar universiti yang hampir menamatkan pengajian dan mahu mencari pekerjaan atau pengalaman.
"Mereka juga diberi kemudahan seperti elaun tetapi jumlahnya adalah bergantung kepada jarak rumahnya ke tempat program dilaksanakan kerana tempat penginapan tidak disediakan," jelasnya.
Dalam pada itu, Siti juga melihat impak positif kepada para peserta dan berharap agar program TEAM dapat dikembangkan lagi di negeri lain selain Selangor kelak.
Sementara itu, majlis tersebut juga menyaksikan sesi menandatangan memorandum sebagai rakan strategi antara SAY dan Nestle yang sekali gus akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram