PEREDARAN zaman yang lebih moden kini memaksa kebanyakan industri khususnya bidang pendidikan untuk mengambil pendekatan teknologi dalam proses pembelajaran.
Selain memudahkan para pelajar, kemudahan teknologi juga dapat mendorong mengasah kemahiran warga pendidik terutamanya guru-guru yang kurang kemahiran itu.
Disebabkan itu, keperluan mengambil guru daripada generasi muda amat digalakkan bagi mempertingkatkan keberkesanan dalam sesi pembelajaran.
BACA LAGI: Tak terperap dalam rumah, taman riadah beri banyak manfaat sosial kepada masyarakat — Pakar
Nur An Nisaa antara guru muda yang menggunakan kelebihan dalam mempraktikkan kemudahan teknologi terkini.
Menyahut seruan untuk berkhidmat dalam sektor pendidikan, seorang guru praktikal, Nur An Nisaa Iryanie Mohd Nor Azhar, 24, sedia membawa perubahan baharu.
Nur An Nisaa yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat 2, Pahang berkata, guru muda juga diperlukan untuk mengendali sistem-sistem yang hampir 100 peratus berasaskan internet dan media sosial.
"Sistem sekarang lebih moden dan ada sesetengah umur, guru lama memang tidak akan dapat catch up dengan peredaran zaman sekarang.
"Lagi pula sekarang kerajaan banyak buat kursus untuk guru-guru belajar teknologi terkini macam teknologi kecerdasan buatan (AI)," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, dia yang juga pernah bertugas sebagai pengamal media itu tidak melihat ia sebagai satu halangan buat guru lain meningkatkan pengetahuan dalam penggunaan teknologi.
Nur An Nisaa yang bertugas sebagai guru praktikal di usia 24 tahun.
Nur An Nisaa pada masa sama berkata, ada sesetengah guru yang lebih berusia tidak ragu-ragu untuk memperbaiki diri dengan meminta pertolongan daripadanya.
Katanya, ia kebiasaannya berlaku apabila mahu menghantar bahan sekolah kepada pelajar secara digital.
"Mereka sebenarnya tahu tentang kegunaan teknologi, tetapi tidak tahu nak buat macamana. Jadi, ada masa, mereka minta tolong untuk muat naik bahan sekolah dalam platform digital macam Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa)," katanya.
Baginya, guru lama lebih memilih untuk mengajar menggunakan cara tradisional iaitu buku teks berbanding guru muda yang lebih ke arah platform digital dan media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram