'Jangan pilih bulu', Ahmad Zahid gesa syarikat pembinaan utamakan buruh mahir tempatan


  • Primer
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Pemaju perumahan, kontraktor, dan sub-kontraktor tidak harus selektif dalam mengambil pekerja dalam sektor pembinaan. — Gambar fail

SEMUA syarikat pembinaan digesa agar mengutamakan tenaga kerja mahir tempatan dan diingatkan supaya tidak bersikap selektif apabila mengambil pekerja dalam sektor itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan akan menanggung kerugian jangka panjang jika sektor pembinaan terus bergantung kepada pekerja asing.

Menurutnya, pemaju perumahan, kontraktor, dan sub-kontraktor tidak harus selektif dalam mengambil pekerja dalam sektor pembinaan.

BACA LAGI: Ada wakil pembangkang mahu jumpa tapi saya tak nak 'dipatuk' dua kali — Zahid Hamidi

BACA LAGI: Bekas menteri, Dr Siti Zaharah meninggal dunia

download (2)

Zahid Hkmidi, Kerajaan akan menanggung kerugian jangka panjang jika sektor pembinaan terus bergantung kepada pekerja asing. — Gambar/Agensi

"Ya, kos mungkin lebih rendah jika pekerja asing diambil, tetapi dalam jangka panjang, kos yang ditanggung oleh negara dan kos kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) akan merugikan," katanya.

Oleh itu, dalam konteks tersebut, beliau percaya bahawa langkah proaktif yang diambil oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies sepatutnya mendapat sokongan daripada kerajaan.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan berkata, kerajaan juga mahu sektor pembinaan di Malaysia digerakkan sepenuhnya oleh tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran slogan CIDB Peneraju TVET Pembinaan sempena Majlis Graduasi 2024 ABM & CIDB Technologies pada Selasa.

Turut hadir Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Yusof Abd Wahab.

Timbalan Perdana Menteri itu menambah, beliau amat prihatin dengan isu berkaitan TVET kerana pada tahun 2024 sahaja kira-kira 60,000 jurutera diperlukan tetapi permintaan itu tidak dapat dipenuhi terutama bagi pekerjaan mahir yang terdapat jurang yang ketara.

“Untuk itu, saya amat berterima kasih kepada 12 rakan menteri dengan 12 kementerian yang mempunyai program TVET.

"Antara program TVET yang paling aktif adalah daripada Kementerian Kerja Raya di bawah CIDB,” katanya.

Beliau berkata, dengan langkah penyelarasan yang diambil, Majlis TVET Kebangsaan kini mempunyai sekretariat sendiri, diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Perdana Menteri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram