ANGGOTA tentera, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, ditemukan selamat dalam keadaan tidak terurus di sebuah restoran di Semabok, Melaka pada Ahad.
Perkara tersebut disahkan oleh bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui anak sulungnya, Muhammad Aikal, kira-kira pukul 7 malam Ahad di restoran berkenaan ketika keluar mencari adiknya itu yang hilang sejak 24 Jun lalu.
BACA LAGI: Hilang 38 hari, di mana Prebet Fakhrullah?
BACA LAGI: [VIDEO] Peras ugut warga asing, 2 polis Kajang digantung tugas, sudah dihadapkan ke mahkamah
“Kami sekeluarga tidak pasti apakah puncanya namun bersyukur dan terus memaklumkan kepada pegawainya di Kem Terendak sebelum mereka datang mengambilnya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nazri turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, media dan orang ramai yang tidak putus-putus membantunya menyalurkan maklumat untuk mencari anaknya itu yang genap tiga tahun menyertai tentera November ini.
Fakrullah hilang selepas keluar dari rumahnya bagi melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang pada 24 Jun lalu.
Bercerita lanjut mengenai keadaan Fakrullah selepas 41 hari menghilangkan diri Nazri berkata, anaknya itu dalam keadaan sihat dan hanya makan di kedai selain tidur di beberapa premis termasuk hotel bajet sepanjang tempoh itu.
“Sampai sekarang, kami sekeluarga masih tidak tahu punca sebenar dia berkelakuan demikian kerana tidak mempunyai masalah dalam hubungan keluarga, teman wanita, kewangan atau pun dibuli.
“Cuma malam tadi dia maklumkan hatinya terasa ‘berat’ untuk pulang ke rumah yang mungkin ada kaitan dengan kejadian mistik menimpanya ketika bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu menyebabkan sikapnya pelik sejak itu.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Fakrullah yang hilang selepas keluar dari rumahnya bagi melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.
Bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 20 Julai lalu, sejurus mendapati mangsa gagal dikesan keberadaannya sejak 24 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu difahamkan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di kem tersebut selepas tamat tempoh bercuti.— The Star/RSN Murali
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram