DUA beradik maut selepas sebuah lori terbabas dan merempuh rumah mereka di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang pada awal pagi Sabtu.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani dalam kenyataan berkata, pasukan penyelamat yang melakukan opeasi pencarian mendapati seorang mangsa wanita terperangkap di bawah kenderaan terbabit.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
BACA LAGI: Doktor anak 4 bijak manfaat masa 15 minit sebelum tidur
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4.15 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dipercayai di bawah pengaruh dadah berseorangan dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.
Mohd Zaidi berkata, mereka yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25, meninggal dunia pukul 1.30 petang Sabtu.
Dalam kejadian sama, seramai tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan, Mohd Waldon Faris, 19, hanya cedera ringan.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki itu ketika melalui selekoh ke kiri hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.
"Akibat kemalangan itu, Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang yang berada di dalam rumah itu cedera dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan pukul 1.30," katanya dalam satu kenyataan berasingan pada Sabtu.
Katanya, ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati pemandu tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Pemandu berkenaan juga akan ditahan untuk tujuan reman pada Ahad sebaik sahaja rawatan selesai.
Sementara itu, kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram