MESKIPUN berpengalaman sebagai pegawai perubatan dalam sektor kesihatan awam di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siti Rahayu Abd Samad tidak menafikan terdapat pelbagai cabaran dalam memastikan keselamatan pesakit.
Beliau yang lebih mesra disapa Dr Ayu berkata, doktor atau kakitangan kesihatan lain juga secara tidak sengaja boleh melakukan kesilapan ketika bertugas.
Menurutnya, mereka juga manusia biasa yang mempunyai kelemahan namun tetap berusaha untuk mengendalikan pesakit dengan cermat dan bertanggungjawab.
BACA LAGI: Doktor anak 4 bijak manfaat masa 15 minit sebelum tidur
BACA LAGI: Bukan 'High Council', kelab BADAR mampu tangani budaya buli di IPT
Beliau pada masa sama turut berkongsi beberapa kisah yang dialami oleh rakan seperjuangannya yang pernah melakukan kesilapan ketika merawat pesakit.
"Tak nafikan ada masa kami, doktor pun pernah buat silap. Saya ingat lagi ada kejadian yang kita pun tak boleh jangka berlaku.
"Ada satu pesakit ni memerlukan dialisis segera dan tebuk kateter atau temporary hemodialysis catheter (NHTC) ke dalam salur darah di leher.
"Apabila masukkan kateter tu ada yang sampai tertusuk dekat paru-paru pesakit. Jadi, ia boleh menyebabkan arteri pecah atau paru-paru bocor," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, kejadian seperti itu kebiasaannya berlaku bergantung kepada situasi doktor berkenaan yang berkemungkinan tidak mempunyai pengalaman cukup dalam mengendali pesakit.
Bukan itu sahaja, Dr Ayu turut berkongsi satu lagi insiden yang berlaku pada seorang pesakit ketika mendapatkan rawatan paru-paru.
"Sama juga dengan kejadian ni, ada seorang pesakit ni perlukan chest tube maksudnya kena cucuk sedikit di paru-parunya untuk keluarkan angin sedikit.
"Tapi, kadang-kadang ada yang tak betul-betul sampai tercabut tiub tu. Apabila jadi begitu, angin dari luar akan masuk banyak dalam paru-paru," katanya.
Tiub yang dimasukkan ke dalam paru-paru pesakit. — Agensi
Chest tube insertion adalah prosedur untuk mengeluarkan udara atau cecair dari ruang pleura (dalam paru-paru) dengan memasukkan tiub ke dada dan mengalirkannya ke botol berisi air.
Ini memulihkan fungsi paru-paru dan dada dengan membentuk tekanan negatif untuk kondisi seperti pneumotoraks dan hemotoraks.
Ditanya pula tentang caranya dalam menangani situasi-situasi genting sebegitu, Dr Ayu memanjatkan syukur dan berterima kasih kepada doktor senior yang mengajarnya sepanjang berkhidmat dalam bidang kesihatan.
Katanya, sebagai seorang doktor, beliau sudah diajar dan dididik untuk sentiasa membaca keadaan atau situasi pesakit ketika melakukan pemeriksaan.
"Biasanya kami memang diingatkan oleh pakar atau doktor senior lain untuk kekal tenang dan tahu setiap langkah jika berdepan dengan situasi cemas.
"Untuk doktor pelatih dan yang baharu juga perlu tahu baca situasi dan riak wajah pesakit, kalau nampak pesakit lemah terus periksa atau panggil pakar jika tak pasti," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram