KKM larang penjualan aiskrim campur ubat batuk Pei Pa Koa


  • Primer
  • Selasa, 30 Jul 2024

KKM mengambil maklum dan memandang serius penjualan produk aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak).

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan memandang serius penjualan produk aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) oleh sebuah rangkaian premis jualan aiskrim baru-baru ini

KKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

"Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru penunggang motosikal disyaki sengaja baling batu ke arah kereta di SS14

BACA LAGI: Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim

"Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

"Sehubungan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini adalah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai," katanya pada Selasa.

Pada masa sama, KKM turut menegaskan semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

"Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.

"Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan," ujarnya dalam kenyataan itu lagi.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Orang awam juga boleh melayari laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram