KECOH apabila Kolam Kealia di Hawaii yang dahulunya jernih kebiruan kini bertukar warna seakan-akan merah jambu secara tiba-tiba sejak beberapa hari lalu.
Menurut saintis, perkara itu berlaku akibat cuaca kemarau yang melanda kawasan terbabit dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak meminum ataupun mandi di kolam tersebut.
Menurut laporan media, kakitangan Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kealia di Maui telah memantau kejadian itu sejak 30 Oktober lalu.
"Laporan kejadian diterima selepas seorang individu memaklumkan kepada saya tentang insiden pelik di kolam tersebut," kata Bret Wolfe yang merupakan pengurus tempat perlindungan tersebut.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap pertukaran warna air kolam itu yang dikhuatiri boleh menjadi punca penyebaran toksik.
Namun, ujian makmal mendapati bahawa tiada sebarang kesan bahan kimia ataupun cecair toksik di kolam tersebut, sebaliknya ia mungkin berpunca akibat sejenis organisma yang dipanggil halobakteria.
Halobakteria merupakan sejenis organisma tunggal yang hidup subur di kawasan air dengan kadar garam yang tinggi.
Tahap kemasinan kolam tersebut kini dikatakan dua kali ganda lebih tinggi berbanding air laut.
Wolfe berkata, pihak makmal perlu menjalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti secara terperinci jenis organisma tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram