[VIDEO] Nak selamatkan budak lemas tapi maut terkena renjatan elektrik di kolam pusat beli-belah


  • Benua
  • Rabu, 25 Okt 2023

Kawasan kolam yang menyebabkan kematian salah seorang orang awam yang mahu menyelematkan kanak-kanak yang lemas pada Ahad.

BANTUAN menyelamat seorang kanak-kanak yang lemas dalam kolam bertukar tragedi apabila tindakan itu menyebabkan kematian seorang orang awam di sebuah pusat beli-belah Florida, Amerika Syarikat pada Ahad.

Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila seorang kanak-kanak dilihat berada di dalam kawasan kolam air pancut di pusat beli-belah tersebut.

Pihak Polis Jupiter berkata, kanak-kanak itu kelihatan lemas dan menyebabkan beberapa orang awam yang berada di sekitar itu cuba melompat masuk untuk membantu tanpa menyedari risiko tinggi terkena renjatan elektrik di dalam kolam tersebut.

"Tiga orang mangsa bawah umur dibawa ke Pusat Perubatan St. Mary untuk mendapatkan rawatan manakala seorang lagi yang dibawa ke Pusat Perubatan Jupiter sudah dibenarkan keluar.

"Sementara seorang lagi orang awam maut di Pusat Perubatan Jupiter," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah Harbourside Place menganggap kejadian yang berlaku itu sebagai sebuah tragedi.

“Tumpuan kami adalah kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat. Kami memohon agar masyarakat mendoakan mangsa kejadian," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Harbourside Place berkata, kejadian itu tidak berlaku di kawasan yang dibuka kepada orang ramai, sebaliknya di kawasan pancutan air larangan yang tertera menyatakan tidak boleh memanjat atau berenang.

Pada masa sama, pihak pengurusan Florida Power and Light turut membantu untuk memutuskan aliran jana kuasa di lokasi tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram