Feri ikonik Pulau Pinang makin reput, mungkin dilupuskan


  • Primer
  • Ahad, 28 Jul 2024

Feri ikonik Pulau Pinang yang rosak akan dilupuskan dalam masa terdekat. — The Star

KESEMUA enam feri ikonik Pulau Pinang yang tidak lagi digunakan, mungkin dilupuskan jika tiada pihak berminat untuk mengambil alih atau membaik pulihnya.

Perkara itu disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang berkata, ia berikutan struktur feri yang semakin rosak serta reput dan tidak lagi sesuai untuk perkhidmatan pengangkutan.

"Saya dimaklumkan bahagian bawah feri juga sudah reput. Jika tiada sesiapa yang berminat untuk mengambil alih, ia tidak boleh disimpan di situ selama-lamanya," katanya.

BACA LAGI: Feri ikonik Pulau Kapas tenggelam di Butterworth

BACA LAGI: 'Kami lihat ramai orang bawa senjata', pelajar Malaysia ketakutan kongsi keadaan rusuhan Bangladesh

Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) membuka Request For Proposal (RFP) untuk menggunakan semula feri ikonik itu.

2146091

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata feri ikonik Pulau Pinang akan dilupuskan jika tiada pihak ingin mengambil alihnya. — The Star

Katanya, pada masa ini, dua feri ikonik mungkin masih boleh diselamatkan, sebuah dengan pemaju Ideal Property dan sebuah lagi akan dijadikan muzium feri yang berpangkalan di Tanjung Marina.

"SPPP telah menerima banyak cadangan daripada syarikat untuk mengekalkan perkhidmatan feri, tetapi selepas meneliti kos, ia tidak dapat diselenggara untuk pengangkutan awam. Namun, kegunaan lain boleh dipertimbangkan.

"Selain itu, terminal feri telah diubah suai bagi menampung perkhidmatan feri baharu yang sedang beroperasi," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, suruhanjaya itu memutuskan untuk membatalkan feri ikonik itu berikutan kerosakan teruk dan ketidakupayaan untuk melakukan pembaikan kerana ia tidak boleh diapungkan.

Keputusan itu dibuat susulan insiden feri ikonik, 'Pulau Kapas', yang karam di Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Butterworth, akibat kebocoran pada Rabu lalu.

SPPP telah memajakkan feri ikonik, termasuk Pulau Kapas, kepada beberapa syarikat yang layak untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021.

Bagaimanapun, rancangan untuk menukar Pulau Kapas kepada restoran terapung gagal kerana tidak mematuhi perjanjian pajakan, menyebabkan penamatan pajakan pada Februari 2023.

Untuk rekod, perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik telah ditamatkan pada 2020 selepas beroperasi selama lebih 126 tahun dan digantikan dengan bot laju untuk penumpang individu dan feri untuk motosikal dan basikal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram