'Elak kes macam Zulfarhan, banyak lagi sekolah sorok kes buli demi jaga nama baik', bekas guru harap KPM main peranan lebih besar


  • Massa
  • Rabu, 24 Jul 2024

Enam penuntut UPNM didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Zulfarhan pada tujuh tahun lalu.

KES kematian seorang Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dibunuh tanpa belas kasihan pastinya menimbulkan kesan pilu buat seluruh masyarakat.

Manakan tidak, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sanggup menekap dengan menggunakan seterika ke seluruh bahagian badannya termasuk kemaluan sehingga 90 peratus disahkan melecur.

Lebih memilukan, meskipun melihat si mati menggelupur kesakitan, pelaku-pelaku cuba menyembunyikan kes itu sebelum perbuatan mereka diketahui pihak atasan.

BACA LAGI: Lepas nasib Zulfarhan terbela, rakyat ternanti-nanti keputusan 3 lagi kes pernah gemparkan negara

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara peluk peminat basah atas pentas, penyanyi terkenal Brazil maut kena renjatan elektrik

Bagaimanapun, selepas tujuh tahun, keadilan akhirnya memihak kepada Allahyarham Zulfarhan apabila Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa keenam-enam pelaku akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Bimbang isu buli menimpa individu lain, seorang bekas guru, Mohd Fadli Salleh berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan kesedaran untuk menolak buli secara besar-besaran.

"Harap sangat KPM dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek buat jelajah negeri ke negeri untuk jemput semua warden, pengetua sekolah, pengurusan Institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), Institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan tempat-tempat berasrama khususnya bagi laksanakan kesedaran untuk menolak buli secara besar-besaran.

"Biar tiada lagi buli bertapak di Malaysia. Biar pupus terus," katanya menerusi Facebook.

Tidak hanya itu, dia juga berpendapat masih banyak isu buli yang berlaku tetapi disorokkan bagi menjadi nama baik sesuatu sekolah.

"Sekarang ini masih banyak kes buli di sekolah berasrama termasuk di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Namun kebanyakan kes disorok demi menjaga nama baik sekolah," katanya.

Lebih memilukan, Fadli berkata, terdapat pihak yang beranggapan isu buli sebagai satu hal yang biasa terjadi untuk mendewasakan seseorang.

"Lagi pedih, bila aduan dibuat ada pihak yang rasa macam biasalah itu duduk asrama. Setakat kena sikit-sikit tu sebagai pengalaman dan buat mereka 'keras'.

"Apa punya alasanlah. Api yang membakar bangunan bermula dari api kecil yang dinyalakan. Sama kes dengan buli ini. Kes melibatkan kematian bermula dengan buli kecil seperti senior suruh iron baju atau suruh picit badan," katanya.

2818095

Kes buli Zulfarhan Osman merupakan satu kes yang bersifat jahat, zalim dan jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.

Dalam pada itu, Fadli berharap agar semua pihak memandang serius isu sebegini bagi mengelak kes seperti Zulfarhan terjadi lagi.

"Jangan lagi nak sorok kes semata-mata nak menjaga nama. Yang lebih penting daripada nama adalah nyawa! Ambil tindakan segera. Jadikan kes sebelum ini sebagai pengajaran," katanya.

Apabila isu berkenaan 'hangat' dibicarakan semula di media sosial, ramai netizen mula membuka cerita peribadi mengenai ahli keluarga mereka yang pernah dibuli.

Antaranya, seorang pengguna, Linda Hzh mendedahkan bahawa kes anaknya yang dibuli juga disorok sehingga terpaksa terus-menerus membuat aduan.

"Kes anak saya sendiri, sudah membuat laporan melalui aduan buli tetapi ditutup oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Terpaksa saya ke Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membuat aduan semula, dibuka semula kes dan akhirnya baru pelajar tersebut diambil tindakan.

"Padahal saya siap beri pelbagai bukti, print out dan juga kenyataan daripada guru sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Linda Hzh berharap adanya kesedaran mengenai isu buli ini dikalangan semua peringkat.

"Kesedaran ini kena ada dalam kalangan semua peringkat termasuk kakitangan kerajaan sendiri," katanya.

Seorang individu lain, Linda Yahya turut menceritakan kes yang berlaku terhadap anaknya.

"Anak saya sudah dekat sebulan ambil medical certificate (MC). Doktor suruh rujuk ke pakar psikologi kerana mental dan emosi dibuli.

"Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berkata akan jumpa pihak sekolah dan ambil tindakan. Tetapi sampai ke hari ini tiada respons daripada guru, sekolah atau PPD tentang status kes anak saya," katanya.

Linda turut memohon doa semua pihak agar anaknya tidak lagi berasa trauma untuk bersekolah.

"Doakan anak saya hilang trauma dia dan ada kepercayaan untuk kembali ke sekolah lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram