KES pembunuhan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain disifatkan sebagai satu jenayah yang paling jarang ditemui.
Manakan tidak, berkali-kali penjenayah sanggup menekap tubuh badannya menggunakan seterika dalam keadaan panas sehingga kulitnya melecur 90 peratus.
Mengimbau sewaktu 14 Mei 2018, seorang pakar forensik, Dr Salmah Arshad memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa punca Zulfarhan meninggal dunia selepas didera adalah disebabkan kombinasi antara hypervolemia, masalah jantung dan buah pinggang yang dialaminya.
BACA LAGI: Jumpa rambut dalam makanan? Menggelikan tapi doktor beri alasan selamat dimakan
BACA LAGI: 'So many medical error', doktor kritik drama tempatan gara-gara ultrasound lipas dalam perut
Allahyarham Zulfarhan bersama bapa(kanan), Zulkarnain Idros dan ibunya (kiri), Hawa Osman.
Hasil bedah siasat yang dijalankannya terhadap mayat Zulfarhan Osman mendapati mangsa mengalami pembengkakan jantung dan kegagalan sel ginjal.
“Kombinasi itu boleh menyebabkan kematian,” kata Dr Salmah.
Tampil menjelaskan lebih terperinci, pakar perubatan terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang menceritakan perkaitan di antara masalah berkenaan sehingga membawa kepada kematian.
Semasa rawatan kecemasan bagi luka lecuran, pesakit akan menerima sejumlah besar cecair intravena sebagai ganti kepada cecair yang hilang kerana luka lecuran.
Dr Ahmad Samhan berkata, dalam kes Zulfarhan, hipervolemia mungkin berlaku disebabkan tubuhnya cuba gantikan cecair yang hilang itu dengan cecair intravena yang berlebihan.
"Seterusnya, lebihan cecair ini menjadi tekanan tambahan pada bahagian jantung dan buah pinggang," katanya menerusi laman X.
Kesan lecuran yang menimpa mangsa, Zulfarhan.
Tambahnya lagi, apabila tubuh badan memiliki lebihan cecair, masalah lain seperti pembengkakan jantung pula akan berlaku.
"Hipervolemia menyebabkan jantungnya terpaksa bekerja dengan lebih keras sehingga terjadinya membengkakkan yang membawa kepada kegagalan jantung," katanya.
Apabila jantung tidak dapat mengepam darah dengan berkesan, cecair boleh terkumpul dalam pelbagai bahagian badan, termasuk jantung itu sendiri.
Selain itu, Dr Ahmad Samhan berkata, buah pinggang pula tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menapis sisa dan cecair daripada darah.
"Kehilangan cecair melalui luka melecur dan pemberian cecair yang berlebihan (sewaktu rawatan) boleh menyebabkan buah pinggang tertekan sehingga gagal berfungsi," katanya.
Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengumpulan sisa toksik ke dalam badan sehingga terjadinya komplikasi yang serius.
Bagaimanapun, Dr Samhan berkata, peluang hidupnya mungkin lebih tinggi jika dibawa ke hospital dengan lebih cepat ketika itu.
"Sebagai seorang doktor, saya percaya jika Zulfarhan dibawa ke hospital lebih awal, peluang untuk hidupnya mungkin lebih tinggi," katanya.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM selepas didapati bersalah membunuh Allahyarham Zulfarhan pada tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan.
Hadhariah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah tuduhan pembunuhan terhadap keenam-enam bekas penuntut yang masing-masing kini berusia 28 tahun.
Penjenayah terbabit adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram