Tular laporan kronologi kes, ramai desak klinik dan hospital terlibat kes Zulfarhan turut disoal siasat


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Klinik dan hospital yang merawat arwah Zulfarhan (kiri) dikatakan perlu disoal siasat seperti enam pelaku yang dihukum gantung. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan menetapkan hukuman gantung sehingga mati terhadap enam pelaku yang menyebabkan kematian seorang Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain sememangnya melegakan ramai pihak termasuk ahli keluarga Allayarham.

Keputusan itu sekali gus memberi kelegaan kepada ibu bapa Zulfarhan yang menanti keadilan memihak kepadanya selama tujuh tahun.

Meskipun begitu, kes tersebut masih belum dapat menenangkan amarah rakyat Malaysia terhadap keenam-enam pelaku terbabit.

BACA LAGI: Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim

BACA LAGI: 'Elak kes macam Zulfarhan, banyak lagi sekolah sorok kes buli demi jaga nama baik', bekas guru harap KPM main peranan lebih besar

2818093

Bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros (kiri) dan isteri Hawa Osman bersujud syukur selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa.

Masakan tidak, rata-rata warganet menganggap bahawa masih ada beberapa pihak yang perlu bertanggungjawab dan disiasat dalam kes tersebut.

Berdasarkan laporan kronologi kes yang tular di media sosial sejak Khamis, ramai yang meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan sesetengah institusi kesihatan dalam merawat Zulfarhan.

Ada juga yang mengatakan bahawa pihak klink swasta dan hospital kerajaan terlibat sangat lemah dan tidak peka tentang penderitaan dialami arwah ketika itu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tolong tengok balik rekod melawat Allayarham ke klinik terbabit.

"Macamana doktor bertugas boleh discharge pesakit yang mengalami luka melecur teruk 90 peratus pada seluruh anggota badan termasuk kemaluan," tulis @DrWiket.

6129505758820287886

Laporan kronologi kes Zulfarhan yang tular di media sosial sejak Khamis.

Bukan itu sahaja, ada juga yang beranggapan bahawa Zulfarhan boleh diselamatkan sekiranya pihak klinik mengambil tindakan serius ketika kali pertama merawat arwah.

"Kecewanya baca ni ya ALLAH, dua kali rupanya doktor di klinik tengok arwah. Pesakit muntah dehydrated boleh buat surat rujukan kali kedua pula tu.

"Terang-terang tak bawa pergi hospital masa buat surat rujukan kali pertama," luah @drtiarafazlin.

Dalam pada itu, orang ramai turut menyeru pihak UPNM untuk memberi penjelasan atau maklum balas terhadap tindakan seorang warden yang mendedahkan surat layang untuk meminta bantuan ketika kejadian melalui aplikasi WhatsApp.

Surat layang itu didakwa dihantar oleh seorang rakan arwah yang juga merupakan penuntut UPNM untuk menyelamatkan Zulfarhan pada waktu kejadian.

Surat layang yang ditulis atas kertas A4 pertama dikatakan diselitkan di pintu pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017 manakala surat layang kedua diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih keesokan harinya.

6129505758820287887

Surat layang yang didedahkan seorang warden melalui aplikasi WhatsApp. — Twitter

Tindakan warden itu sekali gus menyebabkan pelaku utama, Muhammad Akmal Zuhairi memindahkan Zulfarhan ke bilik lain agar perbuatan mereka tidak terbongkar.

"Tindakan dan hukuman juga perlu dikenakan kepada pegawai atau warden yang menghiraukan mesej tersebut. UPNM tidak sepatutnya berdiam diri dengan kes yang berlaku," komen @mmokhta52586768.

Pada Selasa lalu, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan.

Hadhariah pada masa sama memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah tuduhan pembunuhan terhadap keenam-enam bekas penuntut yang masing-masing kini berusia 28 tahun.

Keenam-enam pelaku ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram