Peniaga pisang goreng dipenjara 2 tahun, culik 2 budak di Kuala Selangor sebab teringin anak perempuan


Suspek berusia 31 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali pada Rabu.

PENIAGA pisang goreng yang ditahan dalam insiden penculikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, Selangor pada 19 Julai lalu mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, lapor Buletin TV3.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 6 dan 8 tahun dari penjaga yang sah.

Suspek berusia 31 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Selangor pada Rabu.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

2820413

Dua kanak-kanak perempuan dipercayai dibawa lari oleh suspek di sekitar Sungai Buloh pada 19 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang, 19 Julai lalu.

Pada masa sama, Majistret Siti Hajar menjatuhi hukuman penjara 12 dan 24 bulan yang dijalankan serentak serta denda RM1,000 bagi setiap kesalahan terhadap tertuduh, selain penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Beliau bagaimanapun berkata, hukuman dijatuhkan mahkamah harus bersifat deterence (pencegahan) dan faktor kepentingan awam hendaklah diutamakan agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bahawa kesalahan menculik yang amat berleluasa adalah satu kesalahan serius.

Dalam pada itu, peguam mewakili tertuduh, Muhd Muqri Mohd Khairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai peniaga dan mempunyai dua anak.

Muhd Muqri memberitahu bahawa tertuduh yang hanya mempunyai dua anak lelaki bertindak sedemikian kerana sudah lama menginginkan anak perempuan.

Majoriti sebelum ini melaporkan tentang penahanan seorang pemandu kereta Perodua Bezza pada 21 Julai lalu selepas didakwa melarikan dua budak perempuan yang dalam perjalanan pulang mengaji.

Kedua-dua mangsa tersebut kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mereka pada pukul 7.45 malam iaitu kira-kira satu jam selepas dilaporkan hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram