Albertine kini dirawat di hospital Selangor, keluarga minta beri ruang — Exco Johor


  • Massa
  • Selasa, 23 Jul 2024

Pihak keluarga Albertine meminta sedikit ruang untuk pulih daripada trauma atas perkara yang berlaku, kata Exco Johor. — Agensi

KANAK-KANAK perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan diculik sebelum ini kini sedang menerima rawatan di hospital di Selangor, kata Ling Tian Soon.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor itu berkata, pihak keluarga Albertine meminta sedikit ruang untuk pulih daripada perkara yang berlaku selain menyatakan rasa syukur atas tindakan cepat pihak polis serta keprihatinan masyarakat dalam hal ini.

Beliau berkata, Albertine kini sedang dirawat di hospital dan sebarang perkembangan terkini mengenainya akan dikongsi.

BACA LAGI: Suspek ke-5 kes culik Albertine Leo direman 7 hari

BACA LAGI: Budak perempuan hilang di Johor ditemukan di hotel bajet Batang Kali

“Buat masa ini, biarlah mereka pulih terlebih dahulu dan berikan mereka ruang," katanya apabila dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, beliau berharap agar kes tersebut menjadi peringatan kepada semua ibu bapa supaya sentiasa berhati-hati apabila keluar ke tempat awam.

"Kita tidak tahu bila perkara ini akan berlaku, jadi lebih baik untuk berwaspada dan berhati-hati apabila keluar ke tempat awam atau pusat beli-belah.

"Saya juga telah membaca laporan mengenai kes kanak-kanak hilang yang belum diselesaikan di negara ini yang mana ia dilihat agak mengkhuatirkan.

“Saya berharap ibu bapa akan memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka," tambahnya.

6123175956278525154

Dari kiri: Ling Tian Soon, Marina Ibrahim dan Alwiyah Talib mengulas isu berkenaan perkembangan kes culik Albertine. — Agensi

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib berkata, media sosial memainkan peranan besar dalam membantu orang ramai menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak ini.

"Bahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menggunakan akaun media sosialnya untuk bagi mendapatkan bantuan mencari kanak-kanak ini.

Pihak polis melaksanakan kerja ini dengan terbaik dalam menyelesaikan kes ini dengan cepat, namun perkara utamanya adalah rakyat Malaysia ada inisiatif untuk berkongsi maklumat di media sosial mereka.

Dalam pada itu, Ling berkata, beliau berharap agar masyarakat dapat bekerjasama dengan pihak polis untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes penculikan Albertine.

Albertine dilaporkan hilang sekitar pukul 8.30 malam semasa acara Bon Odori pada Sabtu dan ditemui selamat di sebuah hotel di Batang Kali, Selangor. — The Star/ REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram