Empangan Muda makin susut, takungan air tidak sampai 10 peratus


  • Primer
  • Khamis, 25 Jul 2024

Paras air di Empangan Muda dilaporkan semakin menyusut.

PARAS air di Empangan Muda, Kedah semakin susut dan hanya mencatatkan takungan air sebanyak 9.96 peratus pada khamis.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan berkata, dua empangan lagi iaitu Empangan Pedu mencatat takungan air 43.1 peratus manakala Empangan Ahning 83.07 peratus.

Kesemua takungan air ini memberi jumlah keseluruhan 47 peratus untuk pengairan tanaman padi dan bekalan air domestik di utara Kedah dan selatan Perlis.

BACA LAGI: Beri kesan euphoria hingga ketagihan, ketum perlu dikawal — AADK

BACA LAGI: Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?

Penurunan ini disebabkan oleh taburan hujan yang rendah, iaitu hanya 812 milimeter berbanding purata 1,085 milimeter bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

"Bagaimanapun, takungan di ketiga-tiga empangan dikategorikan normal dan masih tinggi jika dibanding rekod terendah sebelum ini," katanya.

MADA berkata, paras dan takungan terendah Empangan Pedu sebelum ini adalah 11.21 peratus, Empangan Muda adalah 2.7 peratus manakala Empangan Ahning 27 peratus.

“Dalam meningkatkan kedudukan paras air empangan, pihak MADA bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk melaksanakan pembenihan awan di kawasan tadahan empangan.

“Operasi Pembenihan Awan (OPA) ini bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin lemah bagi membolehkan penghasilan hujan tepat di kawasan sasaran,” katanya.

WhatsApp Image 2024-07-25 at 19.50.40

Taburan hujan sangat rendah di kawasan tadahan Empangan Muda sepanjang tujuh bulan ini menyebabkan parasnya turun.

Agensi itu menambah, mereka juga akan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula dan juga mengoptimumkan penggunaan air sungai yang mengalir ke terusan MADA.

“Orang ramai tidak perlu panik mengenai berita kedudukan takungan air di Empangan Muda kerana merujuk Tinjauan Cuaca Jangka Panjang bagi Julai hingga Disember 2024 oleh MET Malaysia, turunan hujan di kawasan Muda akan berada dalam julat purata sepanjang tempoh berkenaan.

“Berdasarkan unjuran dibuat, takungan Empangan Pedu ialah 53.93 peratus pada penghujung September dan menunjukkan takungan semasa di Empangan Pedu masih mampu memenuhi bekalan pengairan bagi penanaman padi musim satu 2024.

“Ini termasuk permintaan keperluan domestik dan industri di Kawasan Muda,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram