PERSATUAN Klinik Fisioterapi Swasta Malaysia (PPCOA) memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk meletakkan kursus fisioterapi dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Presidennya, Datuk Dr Balwant Singh Bains berkata, mereka menyambut baik dan menghargai inisiatif kerajaan bagi menangani kekurangan ahli fisioterapi di Malaysia.
Beliau berkata, meskipun begitu, pihaknya juga percaya bahawa pendekatan itu tidak akan memberi manfaat kepada kualiti profesion dan boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
BACA LAGI: Ibu selalu tinggal pesan, tak pernah guna telefon pintar — Anak wanita murung hilang di Kerteh
BACA LAGI: Tular dakwaan data pelanggan bocor, Maybank yakinkan semua maklumat dilindungi
Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan akan memasukkan kursus fisioterapi dalam program TVET. — The Star
Menurutnya, menyepadukan kursus fisioterapi di dalam TVET adalah tidak sesuai memandangkan bidang itu telah berkembang menjadi profesion khusus yang memerlukan kelayakan ketat serta asas kukuh dalam mata pelajaran Sains, selaras dengan piawaian global.
"Fisioterapi bukan semata-mata kemahiran teknikal, ia adalah disiplin perubatan komprehensif yang melibatkan pemahaman anatomi manusia, fisiologi, dan patologi yang kompleks untuk menyediakan penjagaan pesakit yang berkesan.
"Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan meletakkan fisioterapi di bawah program TVET," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Balwant berkata, adalah lebih berfaedah untuk mempertingkatkan program fisioterapi sedia ada dalam fakulti perubatan dan kesihatan serta memastikan ia boleh diakses dan dibiayai dengan secukupnya.
Katanya, tindakan itu sekali gus akan mengekalkan tahap piawaian profesion yang tinggi.
"Perlunya berunding dengan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan sebarang perubahan kepada profesion fisioterapi," jelasnya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan kursus pensijilan fisioterapi ke dalam kurikulum TVET kebangsaan.
Beliau berkata, kursus tersebut diperlukan bagi menangani ketidakseimbangan dalam nisbah ahli fisioterapi yang kini jauh lebih rendah berbanding negara maju. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram