PETAH berkata-kata, pastinya ramai tidak lupa akan insan yang pernah menghiburkan peminat di era 90-an.
Pelawak veteran, Sathiya kini jarang muncul di kaca televisyen, namun wataknya sebagai Ravi dalam sitkom bersiri, Pi Mai Pi Mai Tang Tu pastinya diingati ramai.
Baru-baru ini, heboh mengenai berita pelakon berusia 60 tahun itu diserang penyakit angin ahmar, bagaimanapun, kini dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Memetik laporan Malaysiakini, anaknya, Vickyneswry, 34, menjelaskan bahawa keadaan bapanya sudah stabil meskipun memerlukan masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya.
"Keadaan stabil. Pertuturannya normal. Tapi dia berkata masih terasa kebas di bahagian kaki dan tangan.
"Doktor memberitahu ahli keluarga proses pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa. Bergantung kepada kekuatan badan dia," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Sathiya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur kerana mengalami kebas kaki dan tangan.
Vickyneswry turut berkata, ini adalah serangan kedua bagi pelakon filem Burung Besi itu dalam tempoh beberapa tahun lepas.
"Setakat ini, dia disarankan melakukan rawatan akupuntur dan makan ubat. Tak perlu lakukan fisioterapi.
"Bapa saya mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis tetapi tidak pernah lupa makan ubat,” katanya.
Dalam pada itu, Vickyneswry meluahkan rasa terima kasih kepada peminat dan rakan bapanya yang prihatin dengan keadaan pelakon tersebut.
"Dia ucap terima kasih kepada semua yang bertanyakan tentangnya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram