Bekas Speaker, pemimpin PAS iringi Sanusi hadapi 2 pertuduhan hasut di Mahkamah Shah Alam


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. — The Star

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor sekitar pukul 9 pagi bagi menghadapi dua perbicaraan kes.

Sanusi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dibicarakan atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik tahun lalu.

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat turut mengiringi Muhammad Sanusi sebelum masuk ke premis mahkamah.

BACA LAGI: Joe Biden tarik diri pertahan jawatan Presiden AS, beri sokongan kepada Kamala Harris

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lalu untuk dibicarakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram