OPERASI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah kembali seperti sedia kala di Terminal 1 pada Sabtu, namun masih sedikit perlahan di kaunter daftar masuk Terminal 2 berikutan masalah teknikal CrowdStrike dialami.
Ia menyaksikan operasi masih terjejas bagi pengguna penerbangan kos rendah di Terminal 2 yang mengakibatkan kesesakan di bahagian pelepasan dengan orang ramai terpaksa beratur panjang bagi mengakses ke penerbangan masing-masing.
Ketika dihubungi, seorang jurucakap Malaysia Airlines berkata, sistem pembawa penumpang sudah beroperasi seperti normal.
BACA LAGI: KLIA sesak, terjejas gangguan teknikal global
BACA LAGI: Selain KLIA, sistem KTMB turut alami gangguan teknikal
Di Terminal 2 pula, seorang pekerja AirAsia yang enggan mendedahkan identitinya berkata, situasi semakin terkawal sejak Sabtu meskipun terdapat kesesakan pengunjung yang memerlukan masa lebih lama di kaunter daftar masuk.
Pekerja itu memaklumkan syarikat penerbangan tersebut mengambil keputusan memanggil pekerja yang sedang bercuti dalam usaha membantu penumpang yang terjejas.
Operasi penerbangan di KLIA Terminal 1 turut terkesan dengan gangguan teknikal itu.
Tambahnya, dianggarkan sebanyak 50 penerbangan terjejas akibat gangguan teknikal itu.
Sementara itu, seorang pelajar, Angelica Tijan yang mahu menaiki penerbangan pulang ke Sarawak pada pukul 5 petang Sabtu memberitahu, penerbangannya ditangguhkan ke pukul 10 malam.
"Saya tiba di lapangan terbang pada pukul 1 petang. Saya sudah menghabiskan pengajian dan mahu pulang, tetapi tidak dapat menjangkakan perkara ini berlaku. Ia amat mendukacitakan," katanya.
Seorang warga India yang mahu dikenali sebagai Arpan pula berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke Bali, Indonesia pada Jumaat bersama keluarga untuk bercuti.
Bagaimanapun, selepas terdapat penangguhan sehingga enam jam, dia berputus asa dan memilih untuk menunggu penerbangan pada Sabtu.
Beberapa penerbangan mengalami kelewatan selepas gangguan teknikal berlaku sejak Jumaat.
"Selepas menunggu sejak 10 pagi, kami akhirnya dapat menaiki kapal terbang ke Bali pada pukul 8 malam. Ia sedikit memenatkan, tetapi kami lega kerana dapat ke destinasi," katanya.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, AirAsia memaklumkan pihaknya sedang meneruskan usaha untuk membantu penumpang ke destinasi dan memulihkan sistem kawalan pelepasan (DCS).
"Penumpang AirAsia amat digalakkan untuk tiba lebih awal ke lapangan terbang bagi mengelakkan kelewatan kerana perlu mendaftar masuk secara manual," katanya.
Syarikat tempatan itu juga sedang mempertingkatkan operasi untuk mengawal kesesakan bagi penumpang pada hujung minggu dengan mengerah 300 petugas.
Ini termasuk kakitangan keselamatan untuk membantu meredakan keadaan dan memastikan keselamatan dan kemudahan setiap pengguna AirAsia.
Mereka juga menasihati pengguna untuk menyemak status penerbangan menggunakan e-mel berdaftar dan mendapatkan kemas kini mengenai perjalanan masing-masing di laman web. — The Star/CHARLES RAMENDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram