RTM buat laporan polis isu terjemahan automatik FB, kapsyen bahasa Inggeris silap ucap takziah Agong


  • Primer
  • Ahad, 21 Jul 2024

Hantaran Facebook RTM berhubung pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. — Facebook/Fahmi

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) membuat laporan polis berhubung fitnah yang dilemparkan berkaitan dengan hantaran dimuat naik di Facebook berkenaan pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, RTM menjelaskan bahawa apa yang dipaparkan Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan secara automatik oleh sistem Facebook.

"Jika pengguna mengaktifkan terjemahan secara automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul. Terjemahan bahasa lnggeris oleh sistem Facebook adalah salah.

BACA LAGI: Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Agong ke-17

BACA LAGI: Pertabalan Sultan Ibrahim bermula dengan tabik hormat diraja di Istana Negara

452133939_1035423094614294_7555160018597776164_n

Fitnah yang dilemparkan terhadap RTM dan Fahmi Fadzil. — Facebook/Fahmi

"RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena lstiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17," katanya.

RTM juga memaklumkan sudah membuat laporan polis dan pihak MCMC telah menghubungi Meta berkaitan terjemahan yang salah oleh sistemnya.

"Meta juga telah mengesahkan bahawa mereka telah membetulkan masalah tersebut," jelasnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bertindak memuat naik tangkap layar mesej yang mengandungi unsur fitnah melibatkan dirinya berhubung perkara sama.

"Ada orang tuduh RTM buat Facebook post jelik dalam Bahasa Inggeris. Kemudian disebar fitnah, sampai ada yang minta saya h*ng himself (bunuh diri sendiri)," tulisnya di hantaran Facebook pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram