Bekas MB Perlis terima cek lebih RM600,000 daripada agensi pelancongan — Saksi


Bekas Menteri Besar Perlis, Azlan Man (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram pada Khamis.

MAHKAMAH Sesyen, Kuala Lumpur pada Khamis diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menerima tiga cek berjumlah RM629,395.30 daripada sebuah syarikat pelancongan dari 2014 hingga 2016.

Penolong Pengurus Maybank cawangan Jalan Raja Laut, JD David Jesudasan berkata, cek pertama bernilai RM208,339.90 daripada Sri Kedawang Travel&Tours (W) Sdn Bhd bertarikh 14 Februari 2014, cek kedua (RM196,651) bertarikh 5 Februari 2015 dan cek ketiga (RM224,404.40) bertarikh 20 Januari 2016.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari pertama perbicaraan kes bekas Dewan Undangan Negeri (DUN), Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

BACA LAGI: 'Dia menangis setiap hari', abang dedah emosi isteri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini

BACA LAGI: Hilang sejak Isnin, Nurul Fatihah belum pulang rumah, kali terakhir dilihat di Damansara

Azlan Man

Azlan Man (tengah) sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Rabu atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram. — Bernama

Saksi pertama pendakwaan itu berkata, terdapat kemasukan wang melalui cek berjumlah RM230,230 daripada Perbendaharaan Perlis ke akaun Sri Kedawang Travel&Tours Sdn Bhd pada 10 Januari 2014.

"Terdapat dua lagi kemasukan wang dalam talian daripada bank ke akaun Maybank Sri Kedawang berjumlah RM216,260 pada 19 Disember 2014 dan RM241,295.40 pada 23 Disember 2015, katanya yang mula berkhidmat dalam sektor perbankan pada 1996.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel&Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel&Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial, di sini, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di depan Hakim Azura Alwi bersambung Jumaat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram