Tidak boleh baca Qunut Nazilah sesama Islam, jangan guna dalam perseteruan politik


  • Mukmin
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Pejabat Mufti WP menjawab persoalan tentang hukum membaca Qunut Nazilah terhadap sesama Muslim.

PERSELISIHAN politik tidak boleh dijadikan alasan umat Islam membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim, kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP).

Pejabat Mufti WP menyatakan tindakan sedemikian akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama dengan tidak kira apa pun sebabnya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan dikemukakan di laman Facebook pada Sabtu tentang hukum membacakan doa Qunut Nazilah kepada umat Islam yang lain.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sukan sesama murid, bukan lawan musuh', mufti desak KPM siasat sekolah laung Qunut Nazilah

BACA LAGI: Qunut Nazilah: Semai pelajar dengan kasih sayang, bukan dianggap musuh — mufti

qunut-nazilah-819x1024

Doa Qunut Nazilah. — Jakim

Menurut jawapan itu, berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan sahabat serta pandangan para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan murtad sahaja serta tidak ke atas umat Islam sesama sendiri.

"Doa Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar. Hal ini sepertimana pernah dilakukan Rasulullah SAW yang membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda.

"Selain itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab. Manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan Nasrani,” jelas Pejabat Mufti WP.

Tambah Pejabat Mufti WP, Imam al-Nawawi menyebut sebab dibacakan doa Qunut Nazilah ialah umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan serangga.

"Oleh yang demikian, apa yang dapat diperhatikan daripada nas dan pernyataan ulama, doa Qunut Nazilah ini dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi oleh orang Islam serta pada musibah besar yang menimpa mereka.

Selain itu, ia dibaca dalam konteks peperangan jihad yang dituntut dan dibenarkan oleh syarak seperti situasi yang dihadapi Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.

"Tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam sendiri," menurut Pejabat Mufti WP.

Dalam pada itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menzahirkan kekecewaannya kerana perbuatan menggunakan agama dalam

setiap kesempatan politik terus diamalkan di Malaysia meskipun sudah ditegur dan diingatkan berkali-kali.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Zamri Zainal Abidin berkata, tindakan membacakan Qunut Nazilah di Parlimen baru-baru ini selepas keputusan dibuat untuk menggantung seorang ahlinya jelas merupakan amalan yang melampau.

Beliau berkata, Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah besar.

"Menyamakan perseteruan politik dengan amalan Baginda Rasulullah SAW ketika menghadapi musuh-musuh Islam jelas menunjukkan amalan politik taksub, sempit dan melampau.

"Justeru, Yadim menyeru kepada ahli-ahli politik supaya sentiasa menunjukkan budi pekerti terpuji apabila berada di Dewan Parlimen yang mulia, kerana anda mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat," jelasnya.

Pada Khamis, Ahli Parlimen pembangkang dilaporkan membaca doa Qunut Nazilah selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Parlimen susulan usul Jabatan Perdana Menteri kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan. Surat layang itu berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram