USUL menuntut Parlimen Alor Setar untuk kembali ditandingi Umno tidak akan membawa perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sebaliknya, beliau percaya bahawa cadangan tersebut mampu memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan
BACA LAGI: Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara
"Kita ada hak untuk minta dan tiada salahnya untuk Umno Alor Setar berbuat demikian. Tak ada salahnya untuk kita menilai semula kesesuaian parti mana harus bertanding di Parlimen dan DUN tersebut, atau mana-mana kawasan demi kebaikan bersama.
"Semua ini bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan perkara sebegini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membawa kepada perpecahan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Umno Bahagian Padang Terap 2024 di Kuala Nerang, Kedah, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Alor Setar yang meluluskan meluluskan usul menuntut kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu untuk ditandingi parti berkenaan pada PRU16.
Selain kerusi Parlimen Alor Setar, bahagian berkenaan menuntut satu kerusi DUN, sama ada Suka Menanti atau Alor Mengkudu.
Pada PRU lalu, Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya, Afnan Hamimi Taib Azamudden memenangi Parlimen Alor Setar dengan majoriti 9,931 undi, menewaskan calon PH, Simon Ooi Tze Min yang mendapat 27,555 undi dan calon BN, Tan Chee Hiong (8,930).
PH sebelum itu pada PRU14 memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 15,000.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid. — Facebook/Mahdzir Khalid
Secara tradisinya, BN meletakkan calon daripada parti komponennya, MCA untuk bertanding di Parlimen Alor Setar, iaitu parti yang berjaya menguasai kerusi berkenaan sejak 1963.
Bagaimanapun, kerusi tersebut buat pertama kalinya beralih kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ketika itu merupakan pembangkang pada PRU13.
Pada PRN tahun lalu, BN yang kini bersama Kerajaan Perpaduan bersetuju memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) mempertahankan tiga kerusi DUN di Alor Setar pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.
Bagaimanapun, gabungan BN dan PH hanya berjaya mengekalkan satu kerusi di DUN Kota Darulaman dan tewas dua lagi kerusi iaitu DUN Suka Menanti dan Alor Mengkudu.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir turut mengingatkan ahli Umno agar tidak merosakkan parti sendiri dengan terpengaruh terhadap dakyah pembangkang yang bertujuan memburukkan kepimpinan Umno di semua peringkat termasuk Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.
Ujarnya, setiap khabar yang diterima terutama dari media sosial perlu disemak terlebih dahulu agar tidak terpedaya hingga termakan mainan pembangkang.
Ujar beliau, setiap ahli Umno perlu mengawal perasaan amarah dan emosi bagi menilai setiap khabar disampaikan agar mereka tidak tersilap langkah dalam mengambil tindakan hingga melemahkan parti.
"Kadang-kadang sesebuah parti itu kelihatan lesu bukan disebabkan kekuatan pihak lawan tetapi kerana tindakan ahlinya sendiri. Apabila datang dakyah dari pembangkang, macam mudah sangat nak percaya bulat-bulat sedangkan kita tak berusaha mencari kebenarannya dengan menyemak semula berita itu.
"Pada akhirnya kita tidak sedar sedang dipermainkan oleh pihak yang mahu menjahanamkan parti ini. Cerita seperti ini mudah tersebar di media sosial, malah di kedai-kedai makan dan kita sebagai individu yang berfikiran waras perlu menilai mengesahkan kesahihannya terlebih dulu sebelum menerima bulat-bulat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram