SEJAK akhir-akhir ini, kes orang hilang dilaporkan semakin kerap berlaku di dalam negara.
Malah, dalam minggu ini sahaja, terdapat sekurang-kurangnya tujuh insiden orang hilang dengan hampir kebanyakannya masih belum kembali ditemui.
Berdasarkan maklumat awal dikongsikan, rata-rata daripada individu yang menghilangkan diri terdiri daripada mereka yang berusia remaja sehingga mencecah awal 20-an.
BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan
BACA LAGI: Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, berdasarkan kes sebelum ini, tekanan dan stres didapati menjadi penyumbang utama membawa kejadian orang hilang khususnya melibatkan remaja
Ujarnya, tekanan dihadapi boleh datang daripada pelbagai sudut antaranya harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, stres belajar dan konflik dalaman keluarga.
Pada masa sama, dengan penggunaan media sosial yang agak tinggi, Fauziah berkata, perkara itu turut menjadi penyumbang utama mempengaruhi keadaan mental seseorang individu khususnya remaja.
Pakar Psikologi dan Kaunseling UPSI, Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad.
"Seperti yang kita tahu fasa remaja dan juga awal 20-an ini adalah satu tempoh yang sangat kritikal untuk seseorang itu mencari identiti.
"Jadi dalam tempoh ini, tekanan yang berlebihan daripada ibu bapa dan keperluan akademik boleh menyebabkan mereka merasa tertekan dan mencari jalan keluar dengan melarikan diri.
"Kemudian ditambah pula dengan pendedahan yang tinggi terhadap platform media sosial yang kadang kala memberikan gambaran yang jauh daripada realiti sebenar. Ini juga boleh memberikan tekanan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, Fauziah berkata, lazimnya, individu yang cuba menghilangkan diri akan menunjukkan sedikit petanda sebelum mereka mengambil keputusan keluar daripada rumah.
Ujar beliau, tanda-tanda tersebut juga boleh dikesan sekiranya ibu bapa atau keluarga lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak dan ahli keluarga masing-masing.
"Pertama, dari segi perubahan tingkah laku ini, biasanya mereka ini akan mula menunjukkan penurunan dalam prestasi akademik dan menarik diri daripada aktiviti sosial atau mengalami perubahan dalam pola tidur dan makan.
"Kedua, individu ini juga berkemungkinan memberi isyarat melalui perkataan atau tulisan yang menunjukkan niat untuk melarikan diri atau tidak ingin berada di tempat mereka sekarang.
"Ketiga, mereka ini juga lazimnya akan menunjukkan tanda-tanda kemurungan seperti kesedihan berpanjangan, rasa tidak berdaya, atau kehilangan minat dalam aktiviti yang pernah disukai," ujarnya.
Gejala kemurungan turut boleh menjadi salah satu petanda sebelum seseorang individu mengambil keputusan menghilangkan diri. — Gambar hiasan
Dalam pada itu, Fauziah berkata, seseorang individu yang berpotensi menghilangkan diri kebiasaannya akan melibatkan diri dengan aktiviti berisiko penggunaan dadah atau alkohol, atau bergaul dengan rakan-rakan mempunyai pengaruh negatif.
Pada masa sama, beliau berkata, individu yang mahu menghilangkan diri juga akan mula menyediakan rancangan antaranya dengan cara barang-barang penting secara senyap-senyap, menyimpan wang, atau melakukan pencarian mengenai tempat tinggal alternatif.
Untuk menangani isu tersebut, Fauziah berkata, ibu bapa dan ahli keluarga seharusnya menyediakan sistem sokongan emosi yang lebih baik antaranya dengan meningkatkan komunikasi bersama anak-anak.
"Ibu bapa patut jadikan mereka tempat anak-anak untuk meluahkan perasaan. Untuk yang memiliki anak berusia remaja, cuba layan anak macam kawan-kawan supaya mereka lebih selesa kongsikan masalah dihadapi.
"Dengan cara itu, faktor luaran seperti rakan sebaya atau media sosial dapat dikekang daripada mempengaruhi anak-anak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram