'Pertandingan masih dibuka untuk siapa nak bertanding jawatan Timbalan, Naib Presiden BERSATU'


  • Politik
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Muhyiddin memberi bayangan pemilihan parti itu yang berlangsung pada tahun ini dijangka tidak membabitkan pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi parti.

KEPUTUSAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mengelakkan pertembungan bagi jawatan tertinggi pada pemilihan akan datang tidak bermakna parti berkenaan kini sudah mengikut jejak langkah Umno, kata Ahli Majlis Pimpinan (MPT) parti itu.

Dr Afif Bahardin berkata, berbeza dengan Umno, BERSATU ketika ini masih membuka ruang kepada pertandingan bagi jawatan tertinggi meskipun terdapat dua nama sudah diumumkan bakal mengisi kedudukan bagi posisi Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tanggapan mengatakan keputusan BERSATU untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi pada pemilihan akan datang adalah menyerupai tindakan Umno yang tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan lalu.

BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan

BACA LAGI: Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara

"Saya rasa beza sebab Umno terus menyatakan bahawa tidak ada pertandingan manakala untuk BERSATU, yang dicadangkan Presiden adalah itu, tetapi proses pertandingan itu masih dibuka.

"Kalau ada siapa-siapa yang nak masuk untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden ke jawatan Naib Presiden ke itu tidak ada ketetapan daripada parti mahupun daripada perlembagaan parti yang menghalang proses itu.

"Beza Umno dia terus buat keputusan tak boleh bertanding dan tak membenarkan pertandingan berlaku," katanya ketika ditemui Majoriti pada Sabtu.

Pada 13 Julai lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa pemilihan parti itu yang berlangsung pada tahun ini dijangka tidak membabitkan pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi parti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pendirian berkenaan dibuat selepas beliau melakukan rundingan dengan hampir semua pemimpin parti untuk mengelakkan pertembungan dan perpecahan dalaman semasa proses pemilihan.

Perkara itu disampaikannya menerusi ucapan semasa Konvensyen BERSATU yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, Selangor.

6114102429843832000

Afif ketika menghadiri program 'Jelajah Taman Medan Bangkit' di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Muhyiddin kemudiannya ketika sidang media pada majlis berkenaan turut mengumumkan dua jawatan tertinggi parti itu sudah diisi secara rundingan bagi penggal seterusnya.

Dua jawatan itu ialah Timbalan Presiden yang ditawarkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pula ditawarkan jawatan Setiausaha Agung.

Bagaimanapun, beliau berkata, persetujuan itu masih tertakluk kepada Perlembagaan parti iaitu mana-mana ahli Bersatu masih boleh menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

Untuk rekod, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada Januari 2023 meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan yang berlangsung pada tahun lalu.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden Umno manakala Datuk Seri Mohamad Hasan pula mengisi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin, Afif berkata, beliau berpendapat bahawa ia merupakan pendekatan terbaik untuk BERSATU pada masa sekarang.

Jelasnya, perkara itu juga selari dengan ketetapan dan konsensus yang dicapai oleh MPT yang memberikan kepercayaan kepada Presiden untuk membentuk pasukan pemimpin terbaik bagi parti.

"Saya rasa itu adalah pendekatan terbaik sekarang dalam keadaan BERSATU memerlukan kepimpinan yang kuat untuk berhadapan dengan cabaran yang sekarang kita hadapi sebagai pembangkang.

"Saya rasakan apa yang amanahkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu bukan sesuatu benda yang sukar untuk dilaksanakan. Tetapi, masa yang sama saya percaya pemimpin terlibat juga mempunyai kebijaksanaan mereka sendiri.

"Ini kerana majoriti ahli di akar umbi mahukan satu kepimpinan yang kuat untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) dan juga Barisan Nasional (BN)," jelas beliau.

2809236

Ahli MPT Bersatu, Mohamed Azmin Ali.

Ditanya mengenai dakwaan isu yang timbul membabitkan dakwaan penolakan Mohamed Azmin Ali terhadap tawaran jawatan kanan dalam BERSATU, Afif berkata, perkara itu bukan satu isu besar.

Ujarnya, dakwaan itu juga disifatkan sebagai usaha pihak tertentu bagi menjejaskan perpaduan di dalam parti.

"Pemilihan saya ingat akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi. Jadi masih ada masa dan perbincangan pun masih berjalan. Saya rasa bukan masalah besar pun," ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Mohamed Azmin yang juga Ketua BERSATU Selangor menolak tawaran untuk memegang satu jawatan kanan dalam parti BERSATU.

Beliau kemudiannya mengeluarkan sebarang penafian terhadap laporan tersebut.

Namun, bekas Ahli Parlimen Gombak itu berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sebelum pemilihan dan beliau akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti berhubung perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram