Usul gantung Wan Fayhsal didakwa 'cacat', Ronald Kiandee 'sekolahkan' Speaker Dewan Rakyat


  • Politik
  • Khamis, 18 Jul 2024

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee.

USUL untuk menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disifatkan ada kecacatan dan tidak wajar diteruskan.

Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) ketika dalam Sidang Dewan Rakyat menegaskan Wan Ahmad Fayhsal tidak merujuk kepada penjawat awam ketika Ahli Parlimen Machang itu menyebut seorang kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi dalang di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Jelas Ronald, Peraturan Mesyuarat 36 (9) ia tidak mendefinisi siapa sebenarnya pegawai kerajaan, kerana itu ia perlu dilihat kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 132 untuk mengenal pasti siapa pegawai kerajaan.

BACA LAGI: Hilang sejak Isnin, Nurul Fatihah belum pulang rumah, kali terakhir dilihat di Damansara

BACA LAGI: ‘Satu lagi titik hitam dalam demokrasi berparlimen negara’, Wan Fayhsal kecewa tidak diberi peluang bela diri

Wan Fahysal

Wan Fayhsal menunjukkan surat layang ketika membahaskan isu MAHB di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu. — Parlimen Malaysia

“Sebab itu penting untuk kita lihat tuduhan terhadap Machang ini. Pegawai KWSP sama ada termaktub di dalam tujuh suruhanjaya seperti yang didefinisikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Itu yang Tan Sri kena lihat.

“Kita lihat KWSP ditubuh di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 452. Seksyen 3 Akta 452 menyatakan KWSP satu badan korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum usul berkenaan dibentangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat pada Khamis.

Tegasnya, usul tersebut perlu ditarik balik oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kerana terdapat kecacatan pada tuduhan berkenaan.

“Kalau ada usul dari eksekutif, Tan Sri kena nilai teliti. Kalau defective, tolak balik Tan Sri. Tan Sri mesti tengok Tan Sri adalah Speaker yang adil. Apabila duduk sana Tan Sri kena buka ‘baju politik’ Tan Sri.

“Semua tindakan dan usul mesti dilihat melalui peraturan mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan. Tak boleh bulldoze,” kata Ronald yang pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 17.31.31

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Kenyataan Ronald itu sekali gus menerima kritikan daripada ahli Parlimen yang lain.

“Ini tidak baik, anda tidak boleh menghina Speaker dengan cara sedemikian,” kata Howard Lee (PH-Ipoh Timor).

Manakala, RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, walaupun Ronald boleh berdebat, beliau tidak sepatutnya menghina Speaker.

Johari kemudian berkata bahawa Ronald harus lebih arif mengenai perkara tersebut kerana beliau pernah menggalas tugas sebagai bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“MP Beluran adalah kawan saya dan dia pernah duduk di kerusi Speaker sebelum ini. Saya juga pernah menjadi Ketua Whip sebelum ini dan sebahagian daripada tugas saya adalah untuk menasihati rakan-rakan bahawa anda telah melampaui batas. Sebaiknya minta maaf sebelum apa-apa berlaku,” kata Johari.

Tambahnya lagi, dia memberi tempoh kepada Ronald dari Januari hingga Julai untuk memohon maaf namun masih tidak diendahkan.

“Saya dihina di YouTube dan Pengerusi Perikatan pun kata Speaker mesti 'dicerca' (dikutuk). Ini sangat teruk, memanggil semua orang untuk 'cerca' saya.

“Saya masih di sini, bukan sebagai Johari Abdul, tetapi sebagai Speaker, apabila anda menghina pegawai kerajaan, itu sudah melampau,” kata Johari.

Keputusan yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat melalui undian menerima sokongan 110 Ahli Parlimen dengan 63 tidak bersetuju, tidak mengundi (3) manakala tidak hadir (46).

Selepas sahaja keputusan itu diumumkan, Wan Fayhsal kemudiannya bangkit menyuarakan bahawa beliau tidak akan berputus asa sebelum mikrofonnya dimatikan.

Pada 1 Julai lalu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu memetik sepucuk surat yang menamakan seorang kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai 'dalang' rancangan penjualan pegangan MAHB.

Surat itu didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB. — The Star/TARRENCETAN/RAGANANTHINIVETHASALAM/GERARDGIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram