
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood menawarkan diri mengambil cuti bagi memberi ruang kepada siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, organisasi itu akan tetap menjalankan semua proses seperti biasa semasa ketiadaannya dan operasi akan terus berjalan lancar demi memastikan tiada sebarang gangguan kepada perkhidmatan.
BACA LAGI: Ketua Menteri Melaka tak perlu layan provokasi bubar DUN
BACA LAGI: Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri
“Namun begitu, saya tetap berpegang teguh dengan komitmen saya kepada HRD Corp. Terima kasih atas sokongan anda semua selama ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan HRD Corp telah membuat pelbagai pelaburan dengan peruntukan sebanyak RM3.77 bilion dalam levi yang dikutip daripada majikan untuk program pembangunan latihan.
PAC mendapati levi yang dikutip menunjukkan peningkatan ketara daripada RM475 juta pada 2020 kepada RM2.134 bilion 2023.
Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat milik kerajaan itu dalam audit dilakukan.
PAC mendapati levi yang dikutip HRD Corp menunjukkan peningkatan ketara daripada RM475 juta pada 2020 kepada RM2.134 bilion 2023.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Justeru katanya, KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
Ekoran daripada itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Shahul Hameed supaya membuat laporan kepada SPRM.
Pada 11 Julai lalu, SPRM memaklumkan seramai 10 individu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung laporan audit HRD Corp. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram