‘Satu lagi titik hitam dalam demokrasi berparlimen negara’, Wan Fayhsal kecewa tidak diberi peluang bela diri


  • Politik
  • Khamis, 18 Jul 2024

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula pada Khamis.

AHLI Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa tidak diberikan peluang untuk membela dirinya susulan daripada digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula Khamis.

Keputusan penggantungan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Wan Fayhsal yang juga ahli BERSATU melalui satu hantaran Facebook peribadinya turut meluahkan rasa kesal dengan keputusan tersebut.

BACA LAGI : Wan Fayhsal digantung 6 bulan

BACA LAGI : 'Ini bukan kedai kopi', Wan Fayhsal didakwa layak digantung sebab surat layang cemarkan Dewan Rakyat

"Satu lagi titik hitam dalam demokrasi berparlimen negara. Saya langsung tidak diberi peluang untuk membela diri dalam Dewan tadi.

"Kesan daripada penggantungan ini ialah saya akan terlepas berbahas Belanjawan 2025 dalam sidang Oktober nanti.

"Insya-ALLAH rakan-rakan seperjuangan saya akan terus berjuang dan bersuara demi kepentingan rakyat di Dewan Yang Mulia ini.

"Machang dipaksa mengundurkan diri. Jumpa tahun depan," tulisnya pada Khamis.

Terdahulu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul agar Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen selama enam bulan.

Usul itu menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya dan ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.

Ini susulan kenyataan beliau semasa perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 pada 1 Julai lalu, berhubung sepucuk surat layang yang tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)..

Beliau juga secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram