RUU Akta Penagih Dadah rangkum 4 aspek utama pengurusan penagihan — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 18 Jul 2024

Pindaan RUU APD bertujuan untuk meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan, atau penyalahgunaan dadah atau bahan.

PINDAAN RUU APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 memberi nafas baharu kepada pengurusan penagihan dadah dan penyalahgunaan bahan yang boleh dilihat dengan memenuhi ciri-ciri amalan terbaik dalam rawatan dan pemulihan dadah serta bahan.

Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, semangat yang diterjemahkan dalam pemakaian pindaan RUU ini juga melengkapi prinsip-prinsip rawatan dan pemulihan seperti mana yang disarankan oleh National Institute on Drug Abuse (NIDA).

"Sehubungan itu, tidak ada sebab Pindaan RUU itu tidak disokong kerana kebaikan yang akan diterjemahkan pastinya menguntungkan negara dalam semua aspek khususnya daripada aspek keselamatan, kesihatan, ekonomi dan sosial.

BACA LAGI : Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape

BACA LAGI : Pindaan RUU bukan lagi bersifat menghukum tetapi merawat penagihan dadah

"Pada masa sama, negara mengorak langkah menyambut baik saranan pendekriminalisasian oleh badan dunia dengan mengikut acuan sendiri.

"Ini adalah kerana isu penagihan yang kini di terima pakai sebagai isu kesihatan tidak dapat dipisahkan dengan komponen keselamatan dalam konteks negara Malaysia.

"Dengan demikian kerajaan sangat berhati-hati dalam melaksanakan dekriminalisasi dengan mengambil kira semua aspek melalui proses libat urus yang sangat menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

2786913

Abdul Halim Mohd Hussin

Tambah beliau lagi, dalam mengimbangi aspek kesihatan dan komponen keselamatan, RUU itu melibatkan empat aspek utama dalam pengurusan penagihan.

Aspek pertama katanya, aksesibiliti rawatan dan pemulihan yang mana RUU itu jelas menterjemahkan tindakan yang proaktif dalam melakukan anjakan paradigmanya dengan mengalihkan pendekatan pemenjaraan kepada pendekatan bukan pemenjaraan.

"Pemakaian Seksyen 6(a) adalah satu seksyen yang sangat bermakna dalam memastikan supaya setiap pesakit mendapat rawatan dan pemulihan terbaik mengikut pilihan terbuka.

"Aspek kedua pula adalah kebertanggungjawaban ibu bapa dan orang dewasa kerana ibu bapa yang mengabaikan perkembangan anak-anak perlu mengambil tanggungjawab terhadap tingkah laku dan tindak tanduk mereka.

"Bagaimanapun, pindaan akta akan dilaksanakan dengan penuh hemah dan berasaskan perikemanusian tanpa menyusahkan mana-mana pihak kerana kebimbangan sesetengah pihak berhubung kekejaman menghukum kepada keluarga yang hidup dalam kesusahan adalah tanggapan yang salah.

"Ini kerana ia bertujuan untuk mendidik ibu bapa mengambil tanggungjawab terhadap anak jagaan mereka dalam susah dan senang," katanya.

Beliau berkata, aspek ketiga adalah integriti proses rawatan dan pemulihan melalui penubuhan Majlis Profesion Pegawai Pemulihan dan ia sekali gus mengangkat kewibawaan proses pemulihan dengan menyediakan Pegawai Pemulihan yang profesional setara dengan Profesyen Perkhidmatan Menolong yang lain.

Aspek keempat pula katanya adalah, piawai minimum perkhidmatan kerana RUU itu sudah pasti adalah punca kuasa kepada pemerkasaan pusat perkhidmatan rawatan dan pemulihan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Susulan itu katanya, pendaftaran Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) pastinya akan membawa kebaikan daripada segi kualiti rawatan dan pemulihan yang disediakan untuk memenangi kepercayaan rakyat.

"Pindaan ini juga diyakini akan menjadikan seluruh PPDP sebagai rakan strategik dalam rawatan dan pemulihan yang akan disuburkan dengan pelbagai jalinan kerjasama antara Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan PPDP.

"Justeru konklusi yang dapat ditegaskan di sini adalah tidak ada sebab RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 tidak disokong," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram