Pekebun dipanggil polis berkaitan kes budak nyaris mati ratah biskut beracun di Kemaman


  • 112
  • Isnin, 15 Jul 2024

Mohd Daynail Haikal Alias nyaris maut setelah termakan biskut beracun dalam kejadian di Kemaman, Terengganu.

POLIS telah memanggil seorang lelaki yang juga pekebun untuk memberikan keterangan berhubung kes seorang remaja lelaki yang nyaris maut selepas dipercayai termakan biskut dicampur racun di sebuah kebun di Kemaman, Terengganu pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, warga emas berusia 70 tahun itu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Pihak polis mengambil keterangan warga emas tersebut bagi mengenal pasti punca kejadian. Siasatan berhubung kes ini akan dilakukan meliputi pelbagai aspek sebelum tindakan lanjut diambil," katanya pada Isnin.

BACA LAGI: Angkara terlalu lapar, remaja berbuih mulut termakan biskut dicampur racun di Kemaman

BACA LAGI: Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu nafi peningkatan kes rotavirus, nasihat sentiasa cuci tangan selepas guna tandas, tukar lampin anak

Jelasnya, selepas keterangan diambil polis membebaskan suspek dengan jaminan polis.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkenaan benda beracun.

Sampel makanan yang mengandungi racun itu juga turut dihantar ke jabatan kimia bagi mengenalpasti jenis racun yang digunakan oleh suspek.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai remaja lelaki berusia 13 tahun yang nyaris maut selepas termakan biskut yang dicampur racun dalam kejadian pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.45 petang itu, Mohd Daynail Haikal Alias dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman selepas pengsan ketika dirawat di Klinik Kesihatan Air Puteh.

Difahamkan, mangsa bersama seorang rakannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik seorang penduduk kampung untuk memancing yang terletak kira- kira tiga kilometer dari kediamannya.

Mangsa yang terlalu lapar memakan sekeping biskut berkenaan yang telah dicampur racun dan digantung di atas sebatang kayu di kebun untuk menghalau kera dan beruk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram