SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun di Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu nyaris maut selepas termakan biskut yang dicampur racun dalam kejadian pada Jumaat lalu.
Memetik laporan Buletin TV3, dalam kejadian sekitar pukul 1.45 petang itu, Mohd Daynail Haikal Alias, dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman selepas pengsan ketika dirawat di Klinik Kesihatan Air Puteh.
Difahamkan, mangsa bersama seorang rakannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik seorang penduduk kampung untuk memancing yang terletak kira- kira tiga kilometer dari kediamannya.
BACA LAGI: Warga emas maut terlanggar lori parkir dekat bahu jalan di Lahad Datu
Mangsa dilaporkan memakan sekeping biskut berkenaan yang telah dicampur racun untuk menghalau kera dan beruk yang digantung di atas sebatang kayu di kebun terbabit kerana terlalu lapar.
Bapa mangsa, Alias Saras, 57, berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak keempat dari lima beradik itu selepas diberitahu oleh isterinya, Roslina Ahmad, 52.
Menurutnya, selepas makan makanan itu anaknya pengsan dan mulutnya mengeluarkan buih sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan.
Bagaimanapun, Alias bersyukur selepas anaknya itu mulai pulih selepas menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pukul 4 petang Ahad.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram