Pempengaruh suami isteri kena sambung reman 3 hari disyaki seleweng dana derma


Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh disambung reman selama tiga hari.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Memetik laporan TV3, perintah bagi menyambung reman selama tiga hari sehingga Selasa ini dikeluarkan Majistret Siti Zahirah Zaidon selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Ahad berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada Ahad.

Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan kesemua suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Ahli perniagaan tudung terkenal, suami direman kes seleweng derma cecah jutaan ringgit

BACA LAGI: '14 tahun pertama jadi cabaran hebat rumah tangga', ramai simpati hubungan Dr Jezamine-Harith Iskander

Menurut sumber, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan pada pukul 6.30 petang hingga pukul 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal dan pada masa yang sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan sambungan tempoh reman tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram