Guru bakal terima kenaikan gaji, KGMMB setuju langkah kecualikan kenaikan pangkat warga pendidik bermasalah


  • Massa
  • Ahad, 14 Jul 2024

Juhari berkata, langkah itu bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan kualiti guru, malah secara langsung meningkatkan imej dan integriti warga guru di seluruh negara. — Gambar hiasan

KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyokong langkah kerajaan untuk mengecualikan warga pendidik mempunyai masalah disiplin daripada menerika kenaikan gred secara automatik menerusi kaedah time-based.

Presidennya, Juhari Mohamad Nor berkata, langkah itu bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan kualiti guru, malah secara langsung meningkatkan imej dan integriti warga pendidik di seluruh negara.

"Secara umumnya kita bersetuju sebab kita sebagai penjawat awam memerlukan integriti ketika bertugas. Kalau kita 'underperformed', kita secara tidak langsung menjejaskan imej penjawat awam khususnya guru," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam tugas perlu dikecualikan daripada menerima kenaikan gred secara automatik atau time-based.

Anwar berkata, golongan itu tidak sewajarnya menerima manfaat berkenaan sungguh pun sistem kenaikan time-based sudah diberi kepada warga pendidikan, khususnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sejak beberapa tahun lalu.

Untuk rekod, kerajaan pada 1 Julai 2009 memutuskan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based bagi pegawai kumpulan pelaksana yang sudah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan semasa secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

Mengulas mengenai kemungkinan berlakunya masalah dalam pelaksanaan langkah tersebut, Juhari berkata, beliau yakin peraturan sedia ada sudah mencukupi khususnya untuk memastikan ketelusan dalam proses penilaian khususnya terhadap disiplin guru.

2792124

Presiden KGMMB, Juhari Mohamad Nor

"Tentang penilaian untuk naik pangkat ini, dari segi peraturan itu memang sudah mencukupi. Cuma kita kena pastikan pentadbir membuat pilihan tepat. Kita harap mereka tidak sembunyikan isu-isu melibatkan guru bersalah.

"Tambahan pula, tindakan terhadap guru ada masalah disiplin ini bukannya boleh dilakukan secara melulu. Biasanya pentadbir akan panggil dahulu mereka untuk beri nasihat. Kalau masih tak berubah, baru tindakan diambil.

"Kita pun bukanlah kejam. Jadi dalam hal ini, kita kena pastikan guru bermasalah ini tidak dilindungi manakala guru yang menunjukkan prestasi perkhidmatan bertanggungjawab mendapat hak mereka yang sepatutnya," kata beliau.

Pada masa sama, Juhari berkata, langkah itu dilihat secara bakal mendorong peningkatan kualiti guru selari dengan pelarasan gaji penjawat awam dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Ujarnya, seperti yang diuar-uarkan, pelarasan gaji itu dikatakan bakal menyaksikan peningkatan gaji agak tinggi untuk warga pendidik.

"Jadi sepatutnya penjawat awam ambil tanggungjawab beri perkhidmatan terbaik berlandaskan kenaikan gaji akan diumumkan nanti walaupun itu (kenaikan) sebenarnya adalah perkara nombor dua.

"Yang paling penting, warga guru perlu tunjukkan mereka mampu tunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin," jelas Juhari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran SSPA pada Ogos.

Zaliha berkata, perkara itu dijangka diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram